Jumaat, 22 Januari 2016

Tokoh Wartawan: Najib mahu beli, kawal portal berita

MALAYSIAKINI


 


Tokoh Wartawan Negara Datuk A Kadir Jasin mendakwa terdapat percubaan oleh Putrajaya untuk membeli dan mengawal portal berita.

Beliau yang juga adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan News Straits Times, berkata dirinya dimaklumkan oleh pemilik sebuah portal berita bahawa langkah itu sedang dimulakan oleh peneraju media dan propaganda Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Kadir bagaimanapun tidak menyebut nama individu profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun yang dikenalinya itu.

“Saya dimaklumkan yang dia kini bergabung dengan seorang penulis “mercenary” yang lari ke luar negara dalam percubaan membeli (atau mengawal) portal-portal berita bebas seperti Malaysiakini, Malaysian Insider dan Free Malaysia Today.

“Pemilik portal berita tersebut memberitahu saya, percubaan membeli (atau mengawal) media atas talian ini adalah sebahagian daripada inisiatif baru kumpulan Najib untuk memenangi hati dan fikiran rakyat jelata,” katanya dalam blog hari ini.

Kadir berkata meskipun Naib Presiden Umno merangkap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memuji laskar siber parti itu dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung parti, Disember lalu, namun Umno kini mahu kesampaian yang lebih luas.

Menurut Kadir, Ahmad Zahid juga mahu ia melepasi parti dan orang Melayu.

“Cakap-cakap di kalangan penggiat media bebas atas talian mengatakan salah sebuah portal yang dimiliki oleh seorang tauke Cina telah pun “kow-tow” kepada Ahmad Zahid.

“Sebuah lagi telah ditawarkan “bantuan kewangan” yang lumayan tetapi ditolak oleh pemiliknya,” katanya.
Makin menguncup audiens

Kadir berkata inisiatif baru itu tercetus apabila media arus perdana dan media atas talian tajaan Umno, BN, kerajaan dan simpatisan mereka semakin hari semakin menguncup audiensnya.

Sebagai contoh, Kadir membekalkan statistik daripada Perangkaan Biro Audit Pengedaran (ABC) yang mendapati penjualan akhbar Utusan Malaysia merosot dengan begitu ketara sekali.

Kadir mendakwa bahawa beliau mengenali individu di belakang kempen propaganda Najib itu lebih sedekad yang lalu dan pernah sering makan tengah hari bersamanya.

“Saya kenal orang itu kerana 10 atau 15 tahun lalu kami kerap makan di Restoran Raju, Petaling Jaya. Waktu itu saya hormati dia kerana, pada pandangan saya, dia seorang profesional muda Melayu yang berjaya dan bersopan santun.

“Kini dia dikatakan amat akrab dengan Najib dan sangat berkuasa sehingga pengarang media massa arus perdana pun melutut kepadanya,” katanya.

Tiada ulasan: