Rabu, 13 Januari 2016

SSM pantau warga asing salah guna daftar syarikat

SSM
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)
 
 
SHAH ALAM - Menurut satu kenyataan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) hari ini, hanya perniagaan milikan tunggal atau perkongsian yang mana pemilik atau rakan kongsinya adalah warganegara Malaysia atau berstatus pemastautin tetap dibenarkan menjalankan perniagaan di bawah Akta Perniagaan 1956.

Manakala di bawah Akta Syarikat 1965 pula, warga asing dibenarkan mendaftarkan syarikat dengan syarat mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah beralamat tetap di Malaysia.

Bagaimanapun tindakan boleh diambil jika sesebuah perniagaan atau syarikat itu menyalahi undang-undang dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan di bawah SSM.

"SSM sentiasa melaksanakan aktiviti penguatkuasaan termasuk pemeriksaan data dan fizikal.

"Ia bagi memastikan perniagaan dan syarikat tidak disalah guna untuk menjalankan aktiviti yang bercanggah dengan kepentingan awam serta menyalahi undang-undang di Malaysia," kata SSM menerusi kenyataan itu.

Dalam pada itu, SSM juga menegaskan proses pendaftaran perniagaan dan pemerbadanan syarikat di bawah badan itu sangat telus dan ketat.

"Jika ia di luar bidang kuasa SSM, ia akan dimajukan kepada agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan perundangan di bawah bidang kuasa agensi terbabit," kata kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: