Rabu, 20 Januari 2016

Shafee pertahan label Anwar sebagai ‘pengecut’

Koh Jun Lin


 


Timbalan Pendakwa Raya kes liwat II yang membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim - Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mempertahankan kenyataannya memanggil bekas ketua pembangkang itu sebagai 'pengecut'.

Katanya, istilah itu bertujuan untuk menerangkan tingkah laku Anwar di mahkamah yang memilih untuk membuat kenyataan dari kandang tertuduh daripada memberi keterangan secara bersumpah.

Ia bukan peribadi. Ia legalistik,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini ketika disoal balas oleh peguam bela Datuk Ambiga Sreenevasan.

Shafee mengakui bahawa berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan hukuman bersalah terhadap Anwar dalam perbicaraan kes liwat tahun lalu, beliau dalam wawancara akhbar dengan media melabelkan Anwar sebagai 'pengecut'.

Shafee seorang peguam kanan dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya khusus untuk perbicaraan itu.

Katanya, kenyataan dari kandang tertuduh biasanya digunakan oleh mereka yang gila atau tidak mampu berfikir apabila membela diri ketika disoal balas.

Bagaimanapun, katanya, Anwar bukan berkeadaan seperti itu tetapi sebaliknya adalah seorang pemidato yang mahir dan mampu berceramah dengan cekap sekali.

Ambiga menegaskan bahawa ia adalah hak Anwar untuk membuat kenyataan dari kandang tertuduh dan tidak ada undang-undang untuk menghalang hanya mereka yang lemah berfikir menggunakan kaedah berkenaan.

Shafee membalas bahawa beliau sememangnya ada memberitahu media bahawa sememangnya adalah hak Anwar untuk berbuat demikian.

Tiada ulasan: