SHAH ALAM: Kerajaan negeri sentiasa mengadakan perbincangan dan
rundingan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengenai ancaman Islamic
State (IS) kata Menteri Besar Selangor, Mohamad Azmin Ali.
Menurut Azmin, Selangor sentiasa bersedia untuk berkerjasama dengan PDRM demi memastikan keamanan dan kemakmuran negeri ini.
"Kita sentiasa adakan rundingan dan perbincangan dengan PDRM yang lebih
ditumpukan dalam konteks hendak tangani jenayah di negeri ini.
"Kita pastinya bersedia bekerjasama dengan PDRM supaya peranan kerajaan
negeri dapat dimanfaatkan dalam konteks menjaga keamanan dan kemakmuran
negeri Selangor," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis
Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor.
Tambahnya, soal pendidikan juga perlu diberikan kepada masyarakat dalam
menerapkan konsep kesederhanaan dan keadilan bagi jaminan kemakmuran di
negeri Selangor.
Azmin juga menegaskan kefahaman tentang agama dan budaya amat penting
kerana selangor memiliki rakyat yang pelbagai agama, budaya dan kaum.
"Tapi kita tidak boleh jadikan kepelbagaian ini sebagai alasan hendak mengambil satu tindakan yang ekstrem.
"Sebenarnya kerencaman ini adalah aset kerajaan negeri untuk saling
hormati dan amalkan budaya sebagai rakyat negara Malaysia dan negeri
Selangor.
"Ini boleh dilakukan melalui pendidikan samada di universiti atau dalam
kuliah dan ajaran agama masing-masing supaya konsep kesederhanaan dan
keadilan mesti dipertahankan untuk jamin kemakmuran negara dan negeri,"
ujarnya.
Terdahulu, Polis Selangor meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan
tumpuan orang ramai berikutan insiden pengeboman di Jakarta Khamis lalu.
Ketua Polis Selangor Datuk Abdul Samah Mat berkata antara lokasi
terbabit adalah pusat beli-belah, pusat hiburan, lokasi pelancongan dan
pintu keluar masuk negara seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala
Lumpur, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2, Lapangan Terbang
Sultan Abdul Aziz Shah, Subang serta pelabuhan-pelabuhan di negeri ini.
Beliau meminta orang ramai supaya tidak panik atau cemas kerana situasi keselamatan di Selangor adalah terjamin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan