Selasa, 19 Januari 2016

SEBAB KERTAS SIASATAN DIPULANGKAN BERBEZA ANTARA SPRM DENGAN BNM, TAPI BOLEHKAH KITA MENARUH HARAPAN?

shahbudindotcom


 
 
 
Apabila Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan SPRM berkaitan derma  RM2,600 juta dan dana RM42 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib Razak kepada agensi itu untuk penjelasan lanjut setelah lebih dua minggu melakukan penelitian, persoalan yang timbul ialah apa jadi seterusnya?

Apakah kertas siasatan itu sedang dijadikan "bola" untuk ditendang ke sana dan ke sini bagi tujuan bermain dengan masa sehingga keputusan paling munasabah dapat dicapai atau ia akhirnya bakal senasib seperti kertas siasatan Bank Negara Malaysia atau BNM terhadap 1MDB sebelum ini yang ditolak begitu saja?

Setelah berbulan-bulan melakukan penyiasatan mengenai isu paling hangat berkaitan seorang Perdana Menteri, SPRM akhirnya berjaya menghantar kertas siasatannya kepada Peguam Negara pada 31 Disember lalu bersama beberapa syor serta cadangan mereka.

Bagaimanapun semalam Peguam Negara memulangkan semula kertas siasatan itu kepada SPRM kerana inginkan penjelasan lanjut.

"Setelah meneliti keseluruhan keterangan di dalam kertas-kertas siasatan tersebut, jabatan ini pada hari ini mengembalikan kertas-kertas siasatan tersebut untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak SPRM mengenai beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM, " kata kenyataan pejabat Peguam Negara.

Dalam hal ini, jelas bahawa kertas siasatan itu dikembalikan bukan kerana tidak cukup keterangan, tiada bukti atau ditolak seperti kertas siasatan BNM, tetapi kerana Peguam Negara inginkan penjelasan lanjut berhubung beberapa cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM.

Jadi, apakah cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM itu sehingga Peguam Negara mahukan penjelasan lanjut mengenainya?

Kenapa Peguam Negara inginkan penjelasan lanjut, adakah kerana mereka tidak bersetuju dengan cadangan dan tindakan yang disyorkan SPRM itu?

Adakah ini bermakna Peguam Negara mahu SPRM meminda  atau menggugurkan cadangan dan tindakan yang disyorkannya dalam kertas siasatan itu?

Logiknya, jika Peguam Negara berpuas hati dan bersetuju dengan cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM, tidak ada sebab mereka perlu mengembalikan semula kertas siasatan itu.

Dalam hal ini, kenapa Peguam Negara tidak terus bersetuju saja dengan cadangan dan tindakan yang disyorkan oleh SPRM atau menolaknya terus jika tiada asas untuk pendakwaan?

Adakah Peguam Negara tidak terus menolak kertas siasatan SPRM itu kerana bukti dan keterangan yang ada terlalu sukar untuk diabaikan?

Hal ini berbeza dengan kertas siasatan BNM terhadap 1MDB beserta cadangan-cadangan tertentu yang ditolak untuk pendakwaan oleh Peguam Negara sebelum ini, tetapi kemudian dirayu oleh BNM untuk pertimbangan semula.

Namun, oleh kerana rayuan yang dikemukakan BNM tanpa disertakan bukti-bukti baru, maka  Peguam Negara menolaknya sekali lagi. Ia akhirnya tutup kes begitu saja.

Persoalannya kini ialah apakah SPRM kekal dengan cadangan dan tindakan yang disyorkan sebelum ini atau akan mengembalikan kertas siasatan itu berserta cadangan dan tindakan yang baru kepada Peguam Negara?

Walaupun SPRM menafikan laporan Sarawak Report bahawa terdapat 37 cadangan pendakwaan dalam kertas siasatan yang dikemukakannya kepada Peguam Negara, berapa sebenarnya jumlah syor yang dikemukakannya?

Adakah SPRM kekal dengan kenyataannya sebelum ini bahawa wang RM2,600 juta itu merupakan derma atau ia sudah berubah berikutan adanya maklumat-maklumat baru yang diperolehi?

Bagaimana pula dengan dana RM42 juta daripada SRC international, adakah ia juga derma sama seperti wang RM2,600 juta atau hanya wang sekecil RM42 juta tersebut yang menyebabkan ada sesiapa "tersangkut" untuk tindakan dan pendakwaan?


Tiada ulasan: