Ahad, 10 Januari 2016

PRU 14 medan ‘perang’ lawan rejim ‘Abu Jahal’

SUFI5963

Oleh Fatih Hassan Nordin

SHAH ALAM: Dengan termeterainya perjanjian yang mengukuhkan ikatan antara tiga parti gabungan dalam Pakatan Harapan, pilihan raya akan datang bakal menjadi ‘medan perang’ bagi gabungan itu untuk menghantar UMNO BN ke kerusi pembangkang.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto percaya asas semangat setiakawan antara DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) bakal memberi kekuatan terhadap gabungan itu untuk memenangi hati pengundi, seterusnya merampas Putrajaya.

Menyifatkan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebagai ‘ibu segala pilihan raya’, beliau berkata detik itu bakal  menjadi sejarah kerana UMNO BN dijangka kehilangan kuasa lantaran kemarahan rakyat ekoran bebanan eknomi dan ketidakadilan.

“Ini bukan sekadar menghantar UMNO BN jadi pembangkang, malah peperangan menjatuhkan rejim ‘Abu Jahal’ yang melanggar hak asasi manusia, menyalah guna kuasa, menyeleweng dana awam serta melanggar tata tertib pentadbiran,” katanya.

Beliau antara tiga wakil DAP daripada sembilan perwakilan yang berucap pada Persidangan Pemimpin Pakatan Harapan di Pusat Konvensyen Shah Alam(SACC), di sini hari ini.

Abu Jahal ialah pemimpin jahil kaum Quraisy yang kaya tetapi zalim serta keras melakukan penentangan terhadap Rasulullah SAW ketika proses penyebaran Islam di Mekah.

Kasturi turut menyentuh penglibatan dominan kaum wanita pada pilihan raya lalu yang disifatkannya sebagai golongan penting untuk diberi perhatian dalam memenangi pilihan raya akan datang.

“Peratus pengundi wanita jauh lebih banyak daripada lelaki iaitu 51 peratus berbanding pengundi lelaki 49 peratus.

“Statistik menunjukkan lebih ramai wanita mendaftar sebagai pengundi, malah peratusan keluar mengundi juga mengatasi kaum lelaki,” katanya yang menambah, indikasi itu penting untuk memastikan startegi Pakatan Harapan tidak tersasar

Tiada ulasan: