Jumaat, 15 Januari 2016

PERKASA mahu guru besar Pai Chee keluar dari Mersing

MALAYSIAKINI


 


PERKASA menuntut guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Pai Chee, Mersing, yang didakwa cuba memindahkan keluar guru Melayu, dikeluarkan daripada daerah itu.

“Guru Besar SJKC Pai Chee mesti minta maaf kepada guru-guru Melayu yang menjadi mangsa dan guru besar serta guru yang terlibat mesti dikeluarkan dari bumi Mersing.

“Dulu peristiwa yang sama pernah berlaku di Kulai dan sekarang berlaku (lagi).

"Sekarang mesti bertindak tegas,” kata presiden kumpulan pendesak Melayu itu Datuk Ibrahim Ali.










Kelmarin, seorang guru sekolah itu Salina Daud membuat laporan polis terhadap bapa kepada seorang murid yang didakwa menyerangnya.

Salina, 49, juga mendakwa ini bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku dan menuduh guru besarnya cuba memaksanya meletakkan jawatan atau memindahkannya dan dua orang guru Melayu lain.

Salinan laporan itu dimuat naik ke Internet dan mengundang komen berbaur perkauman. Bagaimanapun, polis menafikan perkara berkenaan.

Pihak sekolah tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya. Guru besar menamatkan panggilan sebaik sahaja mengetahui sedang bercakap dengan wartawan.

Dalam kenyataan hari ini, Ibrahim berkata kes itu perlu mendapat perhatian pihak berwajib sebelum ia merebak menjadi “kudis yang akan merosakkan anggota badan”.

Beliau mengaitkan dengan sistem pendidikan yang tidak menjadikan Melayu sebagai teras.

“Pai Chee Malay centric atau chinese centric? Melayu sifatnya lembut, berbudi bahasa, tidak kasar, tidak biadab dan sentiasa menghormati orang lain. Itu Malay centric namanya,” katanya.

Bekas anggota parlimen itu juga berkata kes di SJKC Pai Chee itu bukan kes terasing.

“Jika benar dan betul seperti apa yang didakwa bahawa mereka tidak mahu guru-guru Melayu, apa maknanya yangg tersirat dari kehendak tersebut?

“Apa yang patut kita panggil atau gelar atau namakan sikap dan peri laku seperti itu kalau bukan rasis dan chauvanis yang melampau?” soal Ibrahim.

Beliau justeru berkata, Kementerian Pelajaran dan kerajaan harus tegas dan berani bertindak membetulkan keadaan.

“Jika tidak sistem pendidikan Malaysia akan berterusan menjadi suatu sistem bercelaru berselirat yang akhirnya tidak dapat dirungkai. Ini membahayakan masa depan negara bangsa,” katanya.


Tiada ulasan: