Tapak pusat mencuci bauksit yang kemudiannya dibawa ke pelabuhan untuk dieksport.
KUALA LUMPUR - Pemuda Umno mengakui kelemahan Kerajaan di mana lambat bertindak dalam menangani isu bauksit di Kuantan, Pahang.
Bagaimanapun Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, ia tidak menggambarkan bahawa kerajaan gagal dalam menangani isu tersebut.
"Mungkin ada sedikit kelemahan daripada pihak kita kerana terlalu lewat bertindak dalam kes ini
"Namun demikian, saya melihat lebih baik ada usaha sekarang daripada isu ini tidak ditangani langsung dan saya harap dengan tindakan yang diputuskan kerajaan, kita dapat selesaikan masalah ini," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno pertama tahun ini.
[ARTIKEL BERKAITAN: Bauksit: Beku lesen eksport jika gagal patuhi SOP]
Rabu lalu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan moratorium ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama tiga bulan bermula 15 Januari.
Wan Junaidi berkata bagi membendung masalah pencemaran akibat bauksit, kerajaan juga telah membekukan pengeluaran Permit Kelulusan (AP) untuk menjalankan operasi perlombongan sejak minggu lepas.
Sehingga hari ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sembilan individu antaranya enam pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dan tiga orang awam yang dipercayai terlibat dalam aktiviti perlombongan bauksit haram di Pahang.
"Kita harap siasatan yang dibuat SPRM tidak terhenti di kalangan pegawai rendah sahaja. Perlu siasatan menyeluruh dan sampai kepada pihak yang betul-betul menyebabkan masalah diluar kawalan ini," kata Khairy.
Dalam pada itu Khairy berkata, sekiranya perlombongan bauksit ini diteruskan, ia memerlukan kawalan yang ketat dan menyeluruh.
"Sebagai Pemuda Umno, kita telah berbincang dan dengar pandangan Pemuda Umno Pahang. Kita minta kajian yang lebih mendalam. Kalau nak mulakan semula, ia perlu ada kawalan yang begitu ketat," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan