Isnin, 11 Januari 2016

Pemandu lori risau moratorium bauksit jejas pendapatan

THE MALAYSIAN INSIDER

Pemandu lori juga kini terkesan dengan moratorium yang menggantung sebarang aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama 3 bulan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 11 Januari, 2016.Pemandu lori juga kini terkesan dengan moratorium yang menggantung sebarang aktiviti perlombongan bauksit di Pahang selama 3 bulan. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
Pemandu lori Din, 47, tidak teruja dengan penggantungan selama 3 bulan ke atas aktiviti perlombongan bauksit bermula Jumaat ini, kerana beliau risau cara untuk menyara keluarganya.

Sejak September, beliau mengangkut bauksit dari lombong ke Pelabuhan Kuantan ketika permintaan terhadap bijih aluminium itu melonjak dari China, menyebabkan pencemaran di pantai timur Semenanjung Malaysia.

Kata Din, pendapatan beliau dan keluarganya yang termasuk 5 orang anaknya, agak lumayan sejak 4 bulan lalu.

"Ya, ia cukup untuk saya dan anak-anak saya. Tetapi sekarang saya tidak pasti apa perlu dilakukan," katanya tanpa memberikan nama penuh. Sewaktu aktiviti perlombongan berada di puncaknya, beliau dapat melakukan antara 5 hingga 6 perjalanan sehari, yang memberikannya pendapatan sehingga RM7,000 sebulan.

"Ini kerja saya. Saya tahu orang sini tidak berpuas hati dengan kami dan setiap orang dalam industri ini.
"Saya juga akan tidak puas hati jika saya orang sini. Namun, saya bukan orang sini, saya cuma mencari nafkah," katanya.

Seorang lagi pemandu lori, Pathmanathan Arjunan dari Kedah, berkata beliau kini mengangkut besi susulan pengumuman Putrajaya pada 6 Januari berkenaan moratorium yang akan berkuatkuasa pada 15 Januari.

Namun, kerja itu tidak konsisten dan menghasilkan pulangan kurang daripada RM15,000 seperti yang diperolehinya mengangkut bauksit dalam sesetengah bulan yang lalu.

Ketika itu beliau bekerja selama 24 jam sehari, 7 hari seminggu tanpa rehat.

"Saya melakukannya sepanjang hari dengan kekurangan tidur. Ia satu kerja keras," katanya.

Dengan penguatkuasaan moratorium itu kelak, pelombongan bauksit kini semakin perlahan dan Pathmanathan berkata beliau kini sudah hampir seminggu tidak bekerja mengangkut bijih itu.

"Saya cuma bekerja hari ini untuk menghantar besi ke Perak. Saya bekerja bagi menyara isteri dan 4 orang anak kami," katanya.

Din dan Pathmanathan adalah antara beratus-ratus pemandu lori yang akan terkesan dengan pembekuan aktiviti perlombongan bermula Jumaat ini.

Seorang lagi pemandu lori, Azham berkata, arahan pembekuan itu tepat pada masanya bagi membolehkan prosedur pengangkutan yang lebih baik diteliti serta memastikan penduduk dan alam sekitar terjamin selamat.

"Ia juga masa yang tepat bagi membolehkan kerajaan negeri menjadikannya situasi yang menguntungkan semua pihak," katanya.

Moratorium selama 3 bulan bermula Jumaat ini diumumkan Pahang dan Putrajaya bagi mengatasi masalah pencemaran daripada perlombongan yang menukar perairan sekitar Kuantan serta udara di kawasan berkenaan menjadi berwarna merah.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata moratorium itu akan berterusan jika industri gagal mengekang pencemaran tersebut dalam masa 3 bulan.

Beliau mahu melihat semua timbunan stok bauksit dipindahkan ke satu pusat bersepadu dalam masa 3 bulan itu, sementara syarat-syarat baru diperkenalkan untuk kelulusan permit AP.

Syarikat yang enggan mematuhi syarat-syarat itu dalam tempoh moratorium berhadapan penarikan permit AP mereka.

Penduduk sekitar Kuantan merungut pencemaran di kawasan mereka berpunca daripada habuk aktiviti perlombongan serta kebocoran daripada lori bauksit sejak Kuantan meningkatkan aktiviti perlombongan bauksit yang dieskport ke China tahun lepas.

Dalam 11 bulan pertama 2015, Malaysia dilaporkan mengeksport lebih 20 juta tan bauksit ke China, satu peningkatan sebanyak 70% daripada tahun sebelumnya.

Pada 2013, Malaysia hanya mengeksport sekitar 162,000 tan bauksit.
 


Tiada ulasan: