Sabtu, 16 Januari 2016

Pelajar lapar: Syor beri subsidi makanan untuk mahasiswa

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic


SHAH ALAM: Kerajaan dicadangkan supaya mempertimbangkan memberi subsidi makanan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) untuk membantu mereka menghadapi kenaikan kos hidup dan keadaan ekonomi tidak menentu sekarang.

Di samping itu, pemberi bantuan biasiswa dan pinjaman pelajar juga disaran melihat semula bantuan diberi dengan matlamat untuk menambah jumlah bantuan berkenaan.

Demikian pandangan dikeluarkan oleh beberapa pelajar IPT ketika diminta untuk mengulas dakwaan pelajar berlapar ketika belajar.
Bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan cadangan memberi subsidi makanan kepada mahasiswa memandangkan keadaan ekonomi sekarang yang tidak menentu.

"Apa yang boleh dibuat bagi saya ialah mengenal pasti golongan sasar yang betul-betul memerlukan, kesnya sepatutnya memberikan makanan percuma dan saya rasa ianya banyak dijalankan di negara-negara luar," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi.
Bekas pelajar Universiti Al-Azhar, Khairom Mawaddah, 29, pula berkata, beliau sangat terkejut melihat perkembangan mahasiswa di negara ini yang terpaksa berlapar ketika menuntut ilmu.

Beliau sependapat dengan Fahmi, iaitu menyarankan kerajaan menyediakan subsidi makanan kepada mahasiswa IPT.

"Jadi saya rasa kerajaan perlu pantau kawan-kawan kita atau pun mahasiswa di universiti sendiri, terutamanya di kawasan bandar, macam UITM Shah Alam sendiri kena pantau dan kena ada subsidi sendiri untuk mahasiswa kita ini untuk survival," katanya yang ditemui di sini.
Mahasiswa Universiti Industri Selangor (Unisel), semester dua Fakulti Pengurusan Perniagaan, Farhan Alias pula berpendapat kerajaan perlu menyediakan biasiswa mahupun pinjaman yang mencukupi kepada mahasiswa.

Katanya, ini disebabkan kadang-kala terdapat kursus tertentu yang menelan perbelanjaan yang banyak sehinggakan hanya tinggal sedikit wang baki pinjaman untuk disimpan membeli makanan sepanjang semester.

"Yang bagi pinjaman pun, perlu bagi lebih sedikit rasanya untuk berbelanja.

"Ada setengah budak (mahasiswa) itu dia ambil pinjaman PTPTN tetapi dapat separuh sahaja, jadi pula pinjaman itu untuk dua semester, semester panjang dan pendek, jadi itu yang dia kena jimat sedikit," katanya.
Sementara itu seorang bapa, Mohd Asnni Yusof, 41, merasakan pelaksanaan cukai barang dan perkhimdatan (GST) juga menjadi punca mahasiswa terpaksa berlapar.

"Dengan keadaan ekonomi sekarang, memandangkan terlampau tinggi, maksudnya macam barang makanan tinggi, barang-barang harian tinggi, semualah barang naik dengan adanya GST ini semakin membebankan," katanya.
Lain pula dengan mahasiswa Unisel Nurul Nur Atiqah Alias, 22, Fakulti Pengurusan Sumber Manusia yang berpendapat tawaran pinjaman atau biasiswa yang diberikan kepada mahasiswa sebenarnya lebih daripada mencukupi jika mahasiswa bijak menguruskan perbelanjaan mereka.

Sewajarnya isu mahasiswa mengikat perut tidak timbul memandangkan kerajaan sudah lama prihatin dengan keperluan mahasiswa.

"Bagi pendapat saya, kerajaan bagi rasanya sudah cukup, dia sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri, dia perlu bahagikan duit dia itu hendak ke arah mana.

"Maknanya cara menguruskan duit (perbelanjaan) dengan betullah," katanya.

Justeru, beliau meminta supaya mahasiswa tidak terlampau ikut hawa nafsu ketika berbelanja mahupun membeli-belah.

"Sebab itu saya kata, pengurusan kewangan itu penting kan, buat masa ini rasanya tidak perlu untuk mahasiswa lebih kepada gajet-gajet sebab selepas kita kerja, kita boleh cari duit dan dapatkan gajet itu kan,"katanya.

Kenyataan Atiqah itu turut didokong oleh seorang lagi mahasiswa Universiti Teknologi MARA yang hanya mahu dikenali sebagai Farajuita.

"Janganlah mula-mula dapat tu (pinjaman atau biasiswa) sudah mula boros, terlalu boros berbelanja.

Kalau boleh berjimatlah, jangan ikut kawan. Tambah kalau macam di IPT itu macam UITM Shah Alam sendirikan, hendak pergi ke sesuatu tempat itu semua dekat.

"Jangan terlalu kejutan budaya sangat," katanya.

Baru-baru ini, Harian Metro melaporkan seorang penuntut Sarjana Muda Psikologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terpaksa 'mengikat perut' sehingga menyebabkan ususnya tercedera.

Penuntut perempuan daripada Sabah itu berkata, masalah kesempitan wang itu dialaminya bukan sahaja di peringkat ijazah, malah sejak di peringkat asasi lagi.

Tiada ulasan: