Ahad, 17 Januari 2016

Mengemis tapi ada Myvi, dapat bantuan

Mengemis tapi ada Myvi, dapat bantuan JKM
Wanita OKU (kiri) licik meraih simpati ramai dengan mengemis walaupun miliki kereta jenis Perodua Myvi.
 


KOTA BHARU - Walaupun mempunyai kenderaan jenis Perodua Myvi dan menerima bantuan bulanan RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), seorang wanita orang kelainan upaya (OKU) berstatus janda sanggup berpakaian lusuh bagi meraih simpati dengan mengemis di sekitar kawasan bandar ini.

Namun, kegiatan licik wanita berusia 43 tahun itu akhirnya berjaya dikesan dan dia ditahan pegawai JKM ketika wanita itu sedang menjalankan aktiviti meminta sedekah di Pasar Pasir Tumboh di sini semalam.

Wanita anak lima itu, sudah acap kali ditahan dalam tiga siri serbuan sebelum ini termasuk di Melor, Pengkalan Chepa dan terbaru di Pasir Tumboh.

Kegiatannya berjaya dikesan sekali lagi, selepas pegawai berjaya mengecam identiti wanita itu yang dalam dua serbuan lalu turut memakai pakaian, seluar dan tudung kepala yang sama termasuk pada serbuan semalam.

Menurut wanita itu yang dikenali sebagai Fatimah, dia terpaksa meminta sedekah setelah tidak mempunyai cukup perbelanjaan untuk menanggung dua anaknya yang masih bersekolah di tingkatan 1 dan tahun 5.

“Suami sudah lama tinggalkan saya yang digantung tidak bertali dan tanggungjawab besarkan anak terserah sepenuhnya pada saya.

“Memang ada anak sulung bantu, memandangkan dia ada belikan kereta pada saya, dan segala perbelanjaan untuk kereta itu, dia yang tanggung. Namun ekoran terdesak saya terpaksa meminta sedekah, lagipun saya tidak mempunyai pendapatan lain dan hanya berharap pada bantuan bulanan JKM,” katanya.

Fatimah berkata, kegiatannya itu tidak diketahui anak-anaknya memandangkan tidak mahu pekerjaan dan pembelajaran anaknya terganggu.

“Saya pilih jalan mudah untuk dapatkan wang, sebab saya tidak tahu cara nak tambahkan  pendapatan.

“Apa pun kali ini saya memang serik setelah dikesan mengemis kali ketiga dan ditahan untuk tindakan lanjut, saya janji mulai hari ini (semalam) saya tidak akan mengemis lagi dan akan tumpukan jaga anak-anak dan cuba berniaga untuk mencari punca pendapatan,” katanya.

Sementara itu dalam serbuan berlainan JKM di Pasar Tani Kedai Lalat, seorang wanita warga Thailand bukan Islam menyalahgunakan agama Islam dengan bertudung kononnya seorang Islam ketika mengemis.

Wanita yang cacat di kedua belah kaki itu, pada mulanya berkeras tidak mahu bangun dari tempat duduknya di atas jalan berhampiran penjaja di kawasan pasar tani itu.

Namun, 20 minit kemudian selepas memaklumkam kegiatannya itu akan dilaporkan kepada polis, barulah dia bangun dalam keadaan kaki terhincut-hincut mengikuti pegawai JKM ke dalam van sebelum di bawa ke Pejabat JKM Kota Bharu.

Wanita itu pernah ditahan pihak JKM sebelum ini di kawasan berlainan dan bukan beragama Islam, namun sanggup menggunakan agama sebagai tarikan untuk meraih simpati awam, akhirnya lakonan wanita itu berjaya dikesan dan dia turut ditahan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Cawangan Pemantauan, Wan Nor Hahsim Wan Noh berkata, dalam ops bersepadu yang bermula semalam, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk di Pasar Tani Kedai Lalat, Pasar Tani Pasir Tumboh, sekitar bank, Pasar Tani Wakaf Che Yeh, Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC), Pasar Siti Khadijah, Pasar raya Tesco dan Dataran Ilmu.

“Lima warga asing yang merupakan warga Thailand dan dua warga tempatan ditahan untuk tindakan lanjut dan kita turut berjaya mengumpul wang tunai hasil mengemis berjumlah RM500.

“Bagi pengemis warga asing kita akan serahkan kepada Jabatan Imigresen untuk siasatan lanjut dan warga tempatan akan ditempatkan di Rumah Seri Kenangan untuk tindakan susulan,” katanya.


Tiada ulasan: