SHAH ALAM - Kerajaan perlu meletak tepi dahulu soal meraih undi untuk pilihan raya umum akan datang sebaliknya perlu fokus membantu rakyat berdepan kenaikan kos sara hidup yang menjerut rakyat, mutakhir ini.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, setelah membantu rakyat, keputusan akhir terletak di tangan rakyat untuk memilih.
“Soal undi itu soal lain. Hari ini, bagaimana kita sebagai kerajaan di peringkat Pusat ataupun negeri berusaha untuk membantu rakyat. Banyak cadangan yang diberikan. Tolak ke tepi dahulu soal nak meraih undi pada pilihan raya akan datang.
“Inilah masanya. Rakyat akan menilai. Jika rakyat merasakan keikhlasan kerajaan pusat, mungkin akhirnya mereka akan memilih kerajaan pusat dalam pilihan raya umum nanti. Kalau mereka merasakan tidak layak, ya, terserah,” katanya kepada Sinar Online selepas Wacana Sinar Derita Orang Bandar: Punca & Penyelesaian, di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kemungkinan risiko kerajaan kehilangan sokongan sekiranya gagal menangani isu kos sara hidup rakyat menjelang pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu, beliau melihat Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri perlu bekerjasama bagi membantu rakyat yang saban hari terus tersepit dek peningkatan kos sara hidup.
“Mana-mana kerajaan pun, kalau kita melihat dalam konteks politik negara kita, kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, masing-masing ada tanggungjawab. Sebagai contoh, kerajaan negeri, jika nak membantu (kerajaan pusat), boleh mengurangkan cukai-cukai kerajaan tempatan dan memperkenalkan insentif-insentif kepada peniaga.
“Kenapa tidak buat begitu? Kenapa semua nak serahkan kepada Persekutuan? Kenapa tidak hari ini kerajaan negeri dan kerajaan pusat bekerjasama untuk rakyat?,” tanyanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan