Cuaca panas susulan fenomena El Nino dijangka meningkat sehingga boleh mencecah 40 °C.
PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi amaran kepada orang ramai supaya bersiap-sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi cuaca panas terik El Nino.
Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, fenomena El Nino dijangka mencapai kemuncak pada penghujung Januari hingga Mac tahun ini akan menyebabkan pengurangan jumlah hujan di antara 20 hingga 60 peratus dan kenaikan suhu sekitar 0. 5°C hingga 2.0°C berbanding biasa.
“Musim kering berpanjangan pula boleh menyebabkan beberapa masalah seperti krisis bekalan air, cuaca panas, kebakaran hutan dan jerebu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau turut mengetengah kesan kesihatan di mana seseorang mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia menjangkakan cuaca panas mencecah 40°C susulan fenomena El Nino yang sedang berlaku ketika ini.
Justeru, KKM mengariskan beberapan panduan mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas.
Antaranya termasuk pengambilan air masak secukupnya, elak terlalu terdedah kepada cuaca terlalu panas dan berada dalam bangunan dengan pengudaraan yang baik dan sebagainya.
Turut dinasihatkan, kepada mereka mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, lelah, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik supaya segera ke klinik jika keadaan penyakit bertambah teruk.
Perokok, pengguna rokok elektronik dan vapers juga dinasihatkan supaya berhenti merokok dan berhenti menggunakan rokok elektronik dan vape.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan