Ahad, 10 Januari 2016

Keluar TPP selepas tandatangan, tak pernah berlaku

 Mohd Nizam Mashar
Mohd Nizam Mashar
 
 
SHAH ALAM - "Tidak pernah terjadi dalam sejarah," demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (Mtem), Mohd Nizam Mashar berhubung dakwaan Malaysia diberi klausa pilih keluar dari perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

Jelasnya, mana-mana negara yang telah menandatangani perjanjian perdagangan bebas itu tidak akan keluar dari perjanjian tersebut.

"Ia (keluar) menunjukkan kebodohan kita. 'Siapa suruh tandatangan kalau nak keluar?'

"Implikasinya akan menyebabkan pasaran tidak percaya kepada kita kerana kita tidak mampu membuat keputusan," katanya pada sidang media selepas Sidang Kemuncak TPPA 2016, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pakar Ekonomi Asian Development Bank, Jayant Menon dilaporkan berkata bahawa Malaysia merupakan satu-satunya negara yang diberi klausa pilih keluar dalam satu surat sampingan kepada perjanjian TPP yang membolehkan Malaysia menarik diri daripada TPP walaupun tanpa cuba untuk meratifikasikannya di Parlimen

Menurut Nizam yang juga Pengerusi Bantah TPP, jika mahu menarik diri, ia perlu dilakukan pada awal rundingan sebelum menandatanganinya.

Malah beliau turut memberi contoh bahawa ada negara yang memilih keluar dari rundingan kerana perjanjian itu tidak menguntungkan mereka sejak awal lagi.

"Termasuk Thailand sendiri. Sebelum tandatangan dah keluar. Selepas tandatangan tidak (boleh keluar)," katanya.

Tambahnya, Malaysia pernah membuat keputusan bijak untuk tidak menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas dengan Amerika Syarikat (AS) pada 2007.

"Selepas kita tidak tandatangan perjanjian itu, perdagangan dengan AS terus meningkat saban tahun. Pelaburan dengan AS juga terus berjalan.

"Jadi, tidak ada alasan bahawa apabila kita tidak tandatangan TPP ini, kita akan ketinggalan atau kita akan rugi lebih banyak," katanya.

Sementara, Setiausaha Agung Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata tidak mudah untuk Malaysia keluar dari perjanjian walaupun kononnya kita diberi klausa pilih keluar.

"Apabila kita sudah menandatangani TPP, kita diberi tempoh dua tahun untuk meratifikasi. Ratifikasi ini bermaksud kita meminda semua undang-undang untuk ikut telunjuk TPP.

"Kalau ambil pilihan untuk keluar dan dalam masa sama undang-undang kita mengesahkan TPP, jadi itu menunjukkan situasi yang rumit akan berlaku. Sebab undang-undang kita sudah mengesahkan. Jadi, tidak semudah itulah kononnya untuk keluar dan sebagainya," katanya.

Tiada ulasan: