KUALA LUMPUR,  Perkahwinan di usia muda mampu untuk mengelakkan zina, jelas Mufti Johor, Datuk Tahrir Shamsudin.

Namun menurut beliau, ianya adalah bagi mereka yang mempunyai rasa tanggungjawab untuk menghindari daripada melakukan dosa besar tersebut dan mencegahnya dengan menghalalkan perhubungan.

“Kalau sesiapa yang memikirkan, yang ada rasa takwa, ada rasa tanggungjawab untuk menghindari zina dan dia tidak boleh menghidarinya melainkan kahwin, maka dia kena kahwin.

“Kalau dengan sebab muda mudah terlanjur, eloklah berkahwin.

“Maknanya sekarang kahwin muda barangkali dia belum ada persediaan, tapi kalau tak kahwin dia boleh terlibat dengan zina pula… Jadi di antara dua perkara ini, maknanya kahwin muda mungkin boleh menolong dia elakkan zina,” katanya ketika dihubungi The Rakyat Post hari ini.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali mengeluarkan kenyataan bahawa perkahwinan adalah ubat paling mujarab untuk menangani isu rogol statutori.

Katanya, cadangan yang dibawa itu adalah berdasarkan Al Quran dan Sunnah, bukannya berdasarkan akal semata-mata.

Memberi pandangan berdasarkan pendapatan Khairuddin, Tahrir berkata itu adalah jalan terbaik meskipun mengakui kemungkinan adanya masalah yang akan dihadapi oleh pasangan muda.

Susulan daripada itu, persiapan awal melibatkan pemahaman dalam perkahwinan hendaklah diterapkan di dalam di dalam pasangan muda.

“Tapi perbuatan zina ini lebih penting untuk dijauhkan..jadi insyaAllah, Allah akan murahkan rezeki untuk dia jika seseorang itu berkahwin nanti.

“Kita kena lihat semula, tidak semestinya yang muda ramai bercerai…jadi kena kursus lah walaupun dia boleh berkahwin di usia muda dia kena bersedia dan menghadapi persiapan yang sewajarnya seperti kursus perkahwinan…

“Memahami antara satu sama lain bahawa perkahwinan ini dengan niat untuk membina satu keluarga bahagia itu pun harus ada juga. Bukan bermakna dia boleh ‘gitu-gitu’ aja,” katanya lagi menjelaskan berhubung perkara tersebut.

Semalam, Sisters In Islam (SIS) dalam satu kenyataannya menentang pandangan yang disuarakan Khairuddin Aman.

Malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu menyifatkan saranan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sebagai satu penghinaan kepada Islam.