HAZAWANI ARIFFIN
Hati-hati sebelum memuat naik sebarang maklumat di media sosial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa buli siber.
KUALA LUMPUR, Hati-hati sebelum memuat naik sebarang maklumat di media sosial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa buli siber.
Jika tidak, ada kemungkinan maklumat yang dimuat naik itu akan dimanipulasikan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Tinjauan The Rakyat Post terhadap pengguna-pengguna media sosial berpendapat pengguna harus lebih bijak menggunakan media sosial.
Bagi penuntut universiti swasta, Ezhen
Chow, 21, berpendapat tindakan menyebarkan sesuatu maklumat tanpa
kebenaran pemilik adalah salah kerana ia boleh mencetuskan pelbagai
masalah yang tidak dijangka.
“Menyebarkan sesuatu maklumat tanpa mengetahui cerita sebenar boleh menyebabkan orang yang tidak bersalah kelihatan bersalah.
“Mungkin kebenaran akan diketahui juga di
kemudian hari, tetapi jika anda sudah viralkan sesuatu yang tidak
betul, bagaimana kebenaran akan muncul jika semua orang sudah mempunyai
persepsi negatif,” katanya.
Tambahnya
lagi, kini penggunaan media sosial dilihat lebih cenderung ke arah
keburukan berbanding menyebarkan sesuatu untuk kebaikan bersama.
“Setakat ini, saya rasa tiada siapa
kisahkan gambar-gambar viral yang disebarkan dengan niat yang baik,
tetapi orang ramai lebih memberi perhatian kepada berita buruk yang
disebarkan. Mereka akan ingat wajah kamu atau lebih teruk lagi mereka
akan kenal nama kamu juga,” jelasnya.
Bagi Huzaifah Abdul Aziz, 23, sikap
rakyat Malaysia yang gemar memperbesarkan hal remeh temeh ini merupakan
faktor utama yang menyumbang kepada masalah penggunaan media sosial.
“Perkara ini bukan sahaja berlaku di
Malaysia, negara-negara luar lain turut mempunyai masalah yang sama,
cuma bezanya di sini adalah sikap kita yang suka memperbesarkan perkara
yang remeh-temeh.
“Ini juga menggambarkan cara pemikiran
dan intelektual rakyat Malaysia yang masih jauh ketinggalan. Mereka
hanya tahu mengecam perbuatan orang lain tanpa usul periksa terlebih
dahulu,” katanya.
Pandangan itu juga turut disokong Fawwaz
Farhan Wan Chik, 25, yang berasa platform sosial media telah disalahguna
oleh sesetengah pihak yang mahu mengambil kesempatan untuk mengaibkan
orang lain.
“Tidak dinafikan ada sesetengahnya
menggunakan platform ini untuk mengaibkan orang lain. Sedangkan kalau
dulu, jika ada masalah boleh bertemu empat mata, sekarang mereka lebih
gemar menyebarkannya di media sosial.
“Maka, kesimpulannya fikir dua tiga kali
sebelum memuat naik sesuatu maklumat. Mungkin ada pihak yang ingin ambil
kesempatan untuk menjatuhkan maruah orang lain,” katanya.
Sementara itu bagi penjawat awam, Nor
Ermi Diana, 30, berkata media sosial adalah platform yang terbaik untuk
menghubungkan semua orang namun, jika tersilap langkah, ia boleh
mengundang bahaya.
“Media sosial ini tidak boleh dikawal
mahupun dihentikan kerana bagi sesetengah individu, mereka tidak boleh
meletakkan akaun mereka secara privasi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan