SHAH ALAM: DAP akur masih berdepan dengan kesangsian orang Melayu bagi
mendapatkan undi walaupun parti itu sudah menjangkau ulang tahun ke-50
tahun ini, demikian ditegaskan oleh Penasihat DAP Lim Kit Siang
Bagaimanapun tegas pemimpin verteran DAP itu, tidak akan ada sambutan gilang-gemilang bagi meraikan ulang tahun tersebut.
"Kami akan meraikannya secara sederhana. Banyak kerja yang perlu
dilakukan, kena bekerja keras," kata Lim yang dipetik The Malaysian
Insider.
Tegasnya lagi, kebanyakan kerja itu adalah bagaimana memulih kerosakan
imej parti akibat krisis yang akhirnya menguburkan Pakatan Rakyat (PR)
tahun lepas.
DAP dan bekas sekutu, PAS, bertelagah dalam hal berkaitan usaha
memperkenalkan undang-undang jenayah Islam atau hudud di Kelantan
sekaligus membawa kepada perpecahan pakatan pembangkang yang sangat
buruk dan terbuka kepada umum.
Pengkritik berkata sepanjang keadaan kucar-kacir itu, DAP dilihat sebagai penyerang, nekad memutuskan hubungan dengan PAS.
Walaupun beliau menegaskan, 'DAP tidak banyak pilihan' kecuali
memutuskan hubungan dengan PAS, Lim mengakui episod itu menyebabkan
pembangkang kehilangan kredibiliti dimata penyokong mereka.
"Tidak diragui lagi yang terdapat harapan sangat tinggi bagi perubahan politik, terutamanya selepas pilihan raya umum ke-13.
"Harapan tinggi diletakkan pada PR, mungkin buat pertama kalinya, ada perubahan kepada kerajaan.
"(Tetapi) ia semua berkecai. Rakyat kecewa dengan keadaan kucar-kacir itu. Harapan mereka punah," katanya.
Bagaimanapun, Lim berkata episod itu memberi banyak pengajaran dan
menambah pembangkang kini perlu meyakinkan penyokong yang kecewa dengan
Pakatan Harapan, masih ada harapan bagi sebuah alternatif yang stabil
dan berdaya maju selain Barisan Nasional.
"Kami sudah melalui keadaan yang paling teruk, dengan perbalahan dan kucar-kacir dalam PR," kata Lim.
"Tetapi itu sudah berlalu. Kami kini memulakan lembaran baharu dengan
pembentukan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pakatan Harapan."
Bekas pemimpin PAS yang membentuk Amanah lebih "terbuka, inklusif,
progresif, berpandangan ke hadapan dan dapat melihat Islam sebagai satu
kuasa politik yang boleh membawa negara ini ke hadapan", kata Lim.
"Oleh itu, cabaran kami sekarang adalah mengembalikan harapan rakyat
kepada perubahan. Kita perlu menunjukkan, rakyat masih boleh membawa
perubahan melalui peti undi, walau sesukar mana sekalipun, dan kami kini
kembali semula," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan