Ahad, 17 Januari 2016

Bersolidariti sokong Indira, mahu pertukaran agama secara unilateral dihentikan

Zikri Kamarulzaman  






Ketika kabinet meneruskan usaha mencari jalan untuk menangani isu penukaran agama kanak-kanak, kira-kira 200 orang hari ini hadir bersolidariti dengan Indira Gandhi, yang mana tiga anaknya telah ditukar agama mereka oleh bekas suaminya yang memeluk Islam.

Peguam Indira, M Kulasegaran memberitahu Malaysiakini bahawa ia berlangsung di Ipoh selama kira-kira satu setengah jam dan berjalan secara aman.

"Orang ramai dari pelbagai kaum hadir untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Indira," katanya selepas menghadirinya.

Menurutnya, satu lagi perarakan dirancang diadakan di Seremban esok.

Bulan lalu, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh yang memutuskan bahawa pertukaran agama tiga anak Indira oleh bekas suaminya K Pathmanathan @ Muhammad Riduan Abdullah adalah tidak sah.

Dalam keputusan majoriti, Mahkamah Rayuan berkata Mahkamah Tinggi Ipoh tidak mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan penukaran agama tiga anak seorang guru tadika M Indira Gandhi oleh bekas suaminya.

Menurutnya, isu sama ada seseorang itu beragama Islam atau tidak adalah di bawah bidang kuasa eksklusif mahkamah syariah.

Mereka yang hadir membawa pelbagai sepanduk, termasuk yang berbunyi 'Do not separate mother and child', 'Indira we feel your pain' dan 'Children need a mother's love and touch'.

Presiden Persatuan Peguam Wanita, Meera Samanther dalam ucapannya melahirkan kebimbangan tentang bagaimana berkesannya jawatankuasa kabinet itu dalam menangani soal pertukaran agama secara unilateral itu.

Sambil menyuarakan kebimbangan bahawa ia akan menjadi sia-sia, Meera berkata adalah jelas kerajaan tidak mempunyai iltizam politik dan keberanian untuk membetulkan yang salah dan untuk menetapkan dasar dan undang-undang yang saksama.

Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam, yang mengetuai jawatankuasa kabinet itu, malam tadi berkata, kerajaan tetap dengan pendiriannya bahawa pertikaian dalam hak penjagaan anak antara agama perlu dirujuk kepada mahkamah sivil jika pasangan itu berkahwin di bawah undang-undang sivil.

Pendirian ini pertama kali dibuat pada tahun 2009, selepas berita mengenai Indira itu pertama kali dilaporkan.

Bagaimanapun, bekas menteri undang-undang Datuk Seri Nazri Abdul Aziz mendedahkan pada tahun 2013 bahawa Majlis Raja-Raja membantah pelaksanaan keputusan 2009 itu.

Tiada ulasan: