KUALA LUMPUR,  “Tiada berita adalah berita baik pada masa ini,” kata Aziph Mustapha menurut posting Facebook terbarunya dalam mengemas kini keadaan kesihatan abangnya, Azmil Mustapha.


Maklumat terkini Aziph mengenai abangnya selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) Hospital Putrajaya semalam, berkata, tiada perubahan setakat ini dan abangnya kini stabil.

“Tiada berita dari hospital. Tiada berita adalah berita baik pada masa ini, kerana Abang Azmil stabil di CCU malam tadi,” tulisnya.

Dua jam kemudian, dia memuat naik perkembangan lain yang berterima masih kepada mereka yang melawat abangnya di hospital.

Dalam post terkini Facebook, dia turut menasihatkan mereka yang ingin datang dan melawat mematuhi waktu melawat hospital bermula jam 12.30 tengahari-2 petang dan dari jam 4.30 petang ke 7 malam.

Turut dimaklumkan dalam posting berkenaan, kenyataan hospital dalam laman web rasminya berhubung waktu melawat.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami bagi memastikan waktu melawat ditetapkan, bukan saja untuk keselamatan pesakit tetapi bagi membolehkan kakitangan perubatan kami menjalankan tugas rawatan dan perubatan harian kepada pesakit,” tulisnya.

Semalam, dilaporkan bekas pelakon era 80-an, Azmil Mustapha, 63, dikejarkan ke CCU selepas mengalami sakit dada.

Difahamkan, beliau turut diberikan bantuan sokongan hayat dan kakitangan perubatan berusaha untuk menstabilkan keadaan Azmil, menurut maklumat terkini daripada Facebook Aziph, semalam.