Ahad, 17 Januari 2016

Anwar kecam serangan pengganas di Istanbul dan Jakarta

KEADILAN DAILY


Selepas dua hari insiden serangan di Istanbul, Isis mengganas sekali lagi dengan membuka medan baru di rantau di mana umat Islam hidup aman di kalangan masyarakat pelbagai kepercayaan sejak sekian lama.
Serangan ke atas ibu negara umat Islam terbesar di dunia ini merupakan serangan terhadap Asia Tenggara.
DSAI
Saya merakamkan ucapan takziah kepada anggota keluarga mangsa yang terlibat dalam serangan. Saya menyanjung tinggi tindakan berani kepimpinan dan pasukan keselamatan serta menzahirkan kekaguman terhadap warga Jakarta yang mengajar dunia cara berdepan dengan keganasan.

Mereka telah bersuara di media sosial dengan menyatakan keberanian, #tidaktakut serta menanggapi keganasan dengan penuh cemuhan.

Indonesia dan Malaysia berkongsi jalur sejarah yang sama, melewati zaman sebelum persempadanan wilayah serta pengamalan Islam secara aman dalam masyarakat plural.

Kita berdepan dengan ancaman yang sama di mana anak-anak muda kita diindoktrinasi dengan ideologi kebencian yang bertentangan dengan kecintaan kita kepada keamanan serta aspirasi demokrasi.

Kita mesti bekerjasama menghadapi ancaman kumpulan pengganas yang memiliki rangkaian antarabangsa dan jaringan merangkumi Asia Tenggara, namun kita juga mesti bersama mendepani cabaran ideologikal dan kepimpinan yang diancam menerusi keganasan dan fahaman totalitarian. Indonesia dan Malaysia harus bersama-sama beriltizam menjadi tonggak keamanan, kemakmuran dan demokrasi dalam dunia Islam.

Marilah kita mendoakan mangsa-mangsa yang terkorban akibat keganasan di Jakarta dan di seluruh dunia. Kita harus membuang ketakutan dan kebencian.

Saya yakin Indonesia akan pulih dan bangkit dengan lebih kuat, lebih bersatu dan tekad untuk menjadi pelantar demokrasi dan keamanan yang mencerminkan legasi kerohanian yang kita kongsi bersama.

Anwar Ibrahim
Ketua Umum KEADILAN

Tiada ulasan: