SINAR HARIAN
SHAH ALAM - Pengerusi Kongres Rakyat, Mohd Azmi Abdul Hamid memberitahu ada ditanya orang-orang kampung tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang menunjukkan mereka tidak tahu langsung tentang perjanjian itu.
Namun ketika menjawab, beliau sempat bergurau sinis bahawa mereka tidak perlu faham sebaliknya setuju sahaja dengan perjanjian itu.
"Saya ceramah di Jerlun, ada mak cik tanya saya. Cikgu, apa benda TPP ini?
"Saya kata tak perlu nak faham banyak. Nanti sebut TPP itu 'tak apa, tak apa' sebanyak dua kali. Maknanya, tak perlu faham. Setuju sahaja," katanya ketika memulakan hujah pada Sidang Kemuncak TPPA 2016, di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, teks TPP setebal 6,000 muka surat itu turut membuatkan beliau dimasukkan ke hospital selama sembilan hari.
"Teks ada 6,000 muka surat tapi Prof (Gurdial Singh Nijar) kata ada 7,000. Kalau setahun, bermakna setiap hari kena baca 19 muka surat.
"YB (Datuk) Mahfuz (Mahfuz Omar) antara tarikh hari ini hingga sidang khas Parlimen ada 17 hari maksudnya YB kena baca 411 page sehari. Balik ini jangan buat kerja, baca terus," katanya yang disambut tepukan peserta persidangan.
Persidangan itu turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj serta Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan