SHAH ALAM – Susulan kenaikan tambang pengangkutan awam sepanjang 2015 hingga awal 2016, Pemuda Pas menggesa agar Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berundur selepas terus membenarkan kenaikan itu berlaku.
Naib Ketuanya, Ir. Khairil Nizam Khirudin berkata, SPAD gagal memainkan peranannya bagi membantu rakyat serta sudah jauh tersasar dari visi dan misinya untuk menerajui transformasi pengangkutan awam darat bagi menjadi mod pilihan rakyat yang mampu dibayar.
“Kini SPAD dilihat sebagai agensi yang wujud sekadar untuk meluluskan permit dan mengumumkan kenaikan-kenaikan tambang sahaja,” katanya.
Menurutnya, kenaikan demi kenaikan yang diumumkan secara puratanya meningkatkan kos pengangkutan rakyat secara keseluruhannya sebanyak 60 peratus berbanding tahun sebelumnya.
[ARTIKEL BERKAITAN: Tambang komuter naik 4 sen sekilometer]
“Pengangkutan awam kini menjadi pilihan yang agak mahal dan membebankan rakyat. Rakyat kini dipaksa untuk menanggung beban ini tanpa alternatif kerana kos minyak juga meningkat ekoran pemansuhan subsidi dengan kadar tol juga sudah dinaikkan, begitu juga dengan kadar bayaran tempat letak kereta bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang khususnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pemuda Pas menggesa SPAD kembali memainkan peranan secara serius bagi membendung kenaikan tambang pengangkutan awam dan berharap Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kewangan bekerjasama bagi menilai kos pengangkutan awam supaya dapat mengimbangi kos hidup rakyat secara keseluruhannya.
“Kami juga memahami beban yang ditanggung oleh pengusaha pengangkutan awam ekoran dari kenaikan kos pengendalian dan penyelenggaraan. Namun mereka perlu melihat kesan kenaikan ini kepada ekonomi rakyat yang menjadi pelanggan mereka.
“Satu mekanisme perlu dikenal pasti oleh kerajaan bagi membantu industri pengangkutan awam di negara ini supaya dapat memberikan perkhidmatan yang cekap dengan harga yang berpatutan tanpa merugikan rakyat atau pihak pengusaha industri,” katanya.
Pihaknya juga turut menyatakan kesediaan bertemu SPAD dan syarikat pengangkutan awam untuk lebih memahami dan berkongsi idea bagi mencari jalan penyelesaian demi kepentingan rakyat.Semalam, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) mengumumkan tambang perkhidmatan ERL bagi perjalanan satu hala antara KL Sentral dan KLIA/klia2 akan dinaikkan RM20 menjadi RM55 bermula 1 Januari 2016.
Bulan lalu, kadar perkhidmatan Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) diumumkan naik daripada 4 sen satu kilometer dengan maksimum kenaikan RM7.10 bagi satu perjalanan mulai hari ini bagi laluan Tanjung Malim ke Sungai Gadut, Negeri Sembilan dan Batu Caves ke Pelabuhan Klang.
Sebelum ini, kadar tambang bagi perkhidmatan KTM Komuter telah diselaraskan dengan peningkatan sehingga RM7.10 berkuatkuasa 1 Mei lalu.
Sementara tambang bagi LRT turut naik bermula hari ini iaitu untuk empat kilometer pertama, penumpang LRT akan dikenakan 30 sen perkilometer perjalanan.
Bagi perjalanan Monorail penumpang dikenakan 58.8 sen perkilometer untuk empat kilometer pertama dan 37.2 sen perkilometer untuk 4.1 kilometer hingga 9 kilometer blok.
Mac lalu pula, SPAD mengumumkan penyelarasan kadar tambang teksi dan kereta sewa antara 20 hingga 67 peratus berkuat kuasa serta merta manakala mulai 15 Mei, tambang bas ekspres naik 22.6 peratus.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan