Isnin, 28 Disember 2015

Saran lakukan 2 kerja, MTUC pula bidas Ahmad Maslan

MALAYSIAKINI


 


Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan terus dibidas pelbagai pihak berhubung cadangannya agar golongan berpendapatan rendah menjalankan dua pekerjaan bagi menampung kos sara hidup yang terus meningkat.

Hari ini, giliran Kongres Kesatuan Sekerja (MTUC) berbuat demikian.

Menurut Setiausaha Agung MTUC, N Gopal Krishnam, kerajaan sepatutnya mencadangkan strategi untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

"Bagi MTUC cadangan itu bukan satu idea konstruktif yang sepatutnya ditimbulkan.

"Sebaliknya MTUC mahu kerajaan memikirkan semula pendekatan dan merangka strategi-strategi yang berkesan untuk memastikan bahawa setiap pekerja tanpa mengira sektor swasta atau awam, mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menyara diri dan keluarga mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad pada Sabtu lalu dilaporkan berkata kerajaan menggalakkan rakyat yang dihimpit dengan bebanan kos hidup mencari pekerjaan kedua.

"Saya rasa ia (dua pekerjaan) bukanlah satu kesalahan, (walaupun) Malaysia ada peraturan, ia satu cara bagi menangani kos sara hidup juga.

“Walaupun kerja waktu pejabat (dari jam 8 pagi ke 5 petang), masih boleh buat online business, asalkan datang kerja dengan tidur yang cukup. Online business boleh buat weekend juga.

"Saya rasa tidak salah (mempunyai dua pekerjaan) di Malaysia, walaupun kita mempunyai peraturan-peraturan, tetapi ia masih salah satu cara untuk menangani kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Timbalan menteri itu turut menerima cemuhan di ruang siber berhubung kenyataannya itu.

Tiada ulasan: