HAZAWANI ARIFFIN
KUALA LUMPUR, Susulan kenyataan Timbalan Menteri
Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan berhubung
saranannya meminta rakyat Malaysia melakukan dua kerja bagi menampung
kos sara hidup yang meningkat baru baru ini, ada di kalangan rakyat
sudah pun melakukannya sejak tiga tahun lalu.
Berdasarkan tinjauan The Rakyat Post,
ada yang berpendapat keadaan ekonomi kini yang semakin mendesak
membuatkan hasil pendapatan yang diperolehi dari kerja-kerja sampingan
masih tidak mencukupi bagi menampung bebanan sara hidup.
Bagi wanita yang ingin dikenali sebagai
Rafika, 27, berkata selain memiliki kerja tetap di sektor swasta, dia
juga melakukan kerja sampingan iaitu memberi perkhidmatan mengemas rumah
sejak dua tahun lalu.
Namun katanya, perkhidmatan itu kini
kurang mendapat sambutan kerana ada di antara pelanggannya sudah mula
pandai berjimat ekoran keadaan ekonomi semasa.
“Sekarang
kerja sampingan yang saya lakukan kurang membantu kerana pelanggan
mulai mengemas rumah sendiri dan menyebabkan pendapatan yang diperolehi
terjejas.
“Saya bukan sahaja membersih rumah, malah
turut menjual barangan solek serta tudung bagi menampung perbelanjaan
harian. Namun dengan ekonomi sekarang, pendapatan yang saya perolehi
hanya RM350 sebulan,” katanya.
Pandangan tersebut turut dikongsi Ayshah, 25, yang menceburi bidang perniagaan atas talian sejak dari zaman belajar lagi.
Katanya, pendapatan bulanan yang diperoleh di sektor swasta tidak berbaloi dengan kenaikan harga barangan pada masa ini.
“Sekarang persaingan di dalam bidang ini
(online) semakin banyak, bukan senang melakukan perniagaan online ini.
Saya berasa mungkin saya perlu menambah kerja sampingan ketiga.
“Kalau dulu, hasil dari kerja sampingan sangat membantu tetapi kini hanya cukup-cukup makan sahaja,” jelasnya.
Bagaimanapun, penjawat awam yang ingin
dikenali sebagai Alfon, 30, berkata kerja sampingan yang dilakukannya
sebagai jurugambar bebas selama sembilan tahun mampu memberi hasil
lumayan berbanding gaji bulanan.
Katanya, gaji pokok yang kecil dalam
sektor awam menyukarkannya untuk memohon sebarang pinjaman di institusi
kewangan apatah lagi kos sara hidup kini meningkat.
“Sejujurnya kerja sampingan lebih
menguntungkan berbanding gaji bulanan, kerana itulah saya tidak
menghadkan kerja saya kepada acara perkahwinan sahaja, malah saya juga
membuat video-video korporat. Dengan cara ini, pendapatan kerja
sampingan saya tidak terjejas,” kataya.
Bagi Isma, 27, berkata seseorang yang
melakukan kerja sampingan selain kerja tetap perlu bijak membahagikan
masa supaya kualiti kerja dapat dijaga.
“Saya berniaga pisang keju menerusi
online. Setiap hujung minggu saya akan menyiapkan segala tempahan. Di
pejabat pula, saya akan pulang selepas segala kerja disiapkan, kadang
kala saya berada di pejabat sehingga lewat malam. Tetapi apa boleh buat,
kalau tidak berniaga susahlah hidup,” ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan