Sabtu, 21 November 2015

TPPA terus dibantah

Anne Muhammad 





Lebih 50 orang wakil pertubuhan bukan kerajaan dan parti politik hari ini mengadakan bantahan terhadap cadangan pelaksanaan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Mereka mula berkumpul kira-kira jam 2 petang di depan Masjid asy-Syakirin KLCC sebelum berarak ke Ampang Park bagi menunjukkan kemarahan terhadap perjanjian itu.

Kira-kira 70 yang hadir dan bersorak "Tolak TPPA" dan 'Bantah TPPA" sambil berarak sambil membawa pelbagai sepanduk seperti "TPPA Kills", "TPPA is making Malaysia poored" dan "Jangan gadai kedaulatan negara".

Wakil PSM yang juga Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Jeyakumar Devaraj berkata TPPA hanya akan memberi bebanan kepada rakyat terutamanya dalam isu dengan hak cipta.

Mengulas lanjut, beliau berkata, jika perjanjian itu ditandatangani nanti bahan bacaan seperti buku teks tidak akan dibenarkan untuk difotostat kerana tertakluk di bawah undang-undang hak cipta.

“Dalam TPPA kata, jika ada kedai membuat salinan fotostat buku teks yang ada hak cipta, kerajaan boleh rampas mesin fotostat, dan peniaga dimasukkan ke penjara. Semua ini akan bawa kesan kepada pelajar,” katanya kepada pemberita.

Jadikan negara terjajah

Selain itu, Jeyakumar menggesa rakyat Malaysia memujuk ahli parlimen masing-masing untuk tidak menandatangani perjanjian tersebut.
Timbalan Pengerusi gerakan Bantah TPPA, Azlan Awang pula berkata, sebelum ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed menjelaskan harga ubat-ubatan tidak akan naik namun, semalam Presiden Amerika Syarikar Barrack Obama berkata sebaliknya.

“Mustapa kata harga ubat tidak akan naik tapi Obama sendiri kata ubat akan naik. Di mana kebenaran dakwaan kerajaan bahawa mereka akan memelihara kepentingan semua?

“Kita harap perjanjian TPPA tidak menjadikan negara kita terjajah,” katanya.

Ketua Wira PERKASA Malaysia Irwan Fahmi Idris berkata, pihaknya tidak akan berganjak dengan kenyataan bahawa TPPA hanya merugikan rakyat.

“Mereka (menteri) dilantik oleh rakyat tapi bila nak tandatangan TPPA, mereka tidak tanya pun rakyat,” katanya.

Antara yang hadir dalam protes itu wakil PAS, Parti Amanah Negara (AMANAH), PERKASA, Gabungan Mahasiswa Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ikatan Muslim Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM).


Tiada ulasan: