Jumaat, 20 November 2015

Peguam negara gugur dakwaan atas video satira Teresa Kok

THE MALAYSIAN INSIDER

Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata, sedari awal, dia tidak sepatutnya didakwa sama sekali kerana tidak ada asas yang wajar berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insider, 20 November, 2015.Ahli Parlimen DAP Teresa Kok berkata, sedari awal, dia tidak sepatutnya didakwa sama sekali kerana tidak ada asas yang wajar berbuat demikian. – Gambar fail The Malaysian Insider.
 
 
Jabatan Peguam Negara hari ini menarik balik dakwaan atas kesalahan menghasut yang dikenakan terhadap ahli Parlimen DAP Teresa Kok sebelum ini kerana sindiran yang dibuatnya dalam video satira 'Onederful Malaysia CNY 2014' tahun lepas. 
 
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Kok bagaimanapun berkata, sedari awal, dia tidak sepatutnya didakwa sama sekali kerana tidak ada asas yang wajar berbuat demikian.

Kok berkata, hak kebebasan bersuaranya dicabuli apabila dia didakwa pada Mei tahun lepas.

"Ia juga jelas yang 'gig' (lakonan) dalam klip video itu semata-mata satu sindiran, tidak berbahaya dan tidak menganiaya sesiapa atau mana-mana bahagian masyarakat kita di Malaysia, dan oleh itu ia tidak menghasut," katanya dalam satu kenyataan. 
 
Dalam satu temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu, Apandi berkata beliau sedang dalam proses mengkaji semula tuduhan dan penyiasatan berkaitan hasutan secara kes demi kes, dan besar kemungkinan akan menarik balik satu kes terhadap seorang anggota pembangkang "tidak lama lagi".

Tetapi beliau tidak menamakan ahli Parlimen pembangkang itu.

Kok berkata, banyak kumpulan masyarakat sivil termasuk Human Rights Watch melahirkan kebimbangan serius dan menuntut pertuduhan terhadapnya digugurkan beberapa kali sebelum ini, tetapi mereka tidak diendahkan bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Kok, ahli Parlimen Seputeh, kini menggesa Apandi menggugurkan serta-merta semua tuduhan hasutan terhadap, antara lain, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Delima dari DAP RSN Rayer, pensyarah undang-undang Prof Madya Azmi Sharom, kartunis Zunar, aktivis Hishamuddin Rais dan Ahli Parlimen Tanjong dari DAP Ng Wei Aik.

"Ketika negara sedang mengalami ketidaktentuan kewangan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak seharusnya menumpukan dan menyalurkan sumbernya kepada menangani kejatuhan teruk Ringgit dan asas ekonomi negara, bukannya terlibat dalam tindakan remeh sebegini terhadap mereka yang berbeza pendapat dan pembangkang," katanya.

Kok didakwa mengikut Akta Hasutan kerana video klip satiranya yang sepanjang 11 minit, dikeluarkan semasa Tahun Baru Cina tahun lepas, yang mengundang kontroversi.

Ia menimbulkan kekecohan di kalangan penyokong kerajaan yang menganggapnya satu penghinaan kepada Malaysia dan pemimpinnya, mengakibatkan beliau kemudiannya menerima ugutan dan ancaman.


Tiada ulasan: