Isnin, 16 November 2015

Himpunan teksi tetap berjalan walaupun tanpa kebenaran DBKL

Oleh Muhammad Asyraf Azlan

 
Post Pic



KUALA LUMPUR: Perhimpunan Warga Teksi pada 18 November ini tetap akan diadakan walaupun tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), demikian menurut Penyelia Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Kamarudin Mohd Hussain.

Katanya, mereka telah mematuhi segala prosedur yang ditetapkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 namun DBKL sehingga kini masih tidak memberi sebarang jawapan.

Katanya, perhimpunan ini bukan bertujuan memberi imej buruk kepada negara tetapi bagi menzahirkan ketidakpuasan hati warga teksi terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"(Ia) Adalah untuk menzahirkan ketidakpuasan hati warga teksi terhadap Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), di mana SPAD ini yang ditubuhkan pada tahun 2011 sehingga hari ini telah gagal mentransformasikan industri teksi. SPAD lebih banyak menyusahkan pemandu teksi berbanding menyelamatkan atau membantu industri.

"Kita bukan untuk memburukkan imej negara, bukan menentang kerajaan. Bukan kami bawa agenda politik tetapi matlamat kita untuk minta kerajaan pandang masalah kita. Sebab kita tidak nampak sejak 2011 SPAD ditubuhkan sampai hari ini tidak nampak keberhasilan SPAD ini," katanya ketika ditemui Antarapos hari ini.

Kamarudin yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (PERS1M) memberitahu bahawa beliau sudah beberapa kali berunding dengan SPAD mengenai permasalahan yang melanda industri teksi namun masih belum mendapat perhatian sewajarnya.

"Kita hendak kerajaan faham masalah kita, dengar masalah kita. Sebab saya di dalam PERS1M sendiri telah banyak kali berurusan ataupun menghantar surat kepada Perdana Menteri dan juga SPAD. Kita pernah mengadakan rundingan namun sehingga hari ini kami tidak dapat  perhatian yang sewajarnya.

"Jadi perhimpunan ini bertujuan untuk mendapatkan perhatian kerajaan bahawa kami ini betul-betul telah susah. Kami ini betul-betul memerlukan keperihatinan kerajaan," ujarnya.

Beliau menyasarkan seramai 10,000 pemandu teksi sekitar Lembah Klang menyertai perhimpunan selama lima jam yang bakal bermula pada jam 12 tengah hari sehingga 5 petang pada 18 November ini.

Pemandu teksi dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor dikatakan turut terlibat di dalam himpunan ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata pihaknya mencadangkan tiga lokasi bagi pemandu teksi berkumpul iaitu di Jalan Conlay, Masjid Wilayah serta Padang Merbok pada pukul 10 pagi sebelum perhimpunan bermula pada pukul 12 tengah hari.


Tiada ulasan: