Jumaat, 20 November 2015

AMANAH 'lamar' Husam

Shakira Buang

  



Parti Amanah Negara (AMANAH) hari secara terbuka mengalu-alukan penyertaan bekas orang kanan Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Husam Musa menyertai parti itu.

Setiausaha Agung AMANAH, Mohd Anuar Tahir berkata, jika Husam - yang kini dilihat semakin berani bersuara mengkritik sesetengah pemimpin PAS - mengambil keputusan untuk meninggalkan PAS, pihaknya pasti menerima dengan tangan terbuka.

Malah, kata Mohd Anuar, Husam boleh dianggap sebagai aset dalam politik dan boleh memberi sumbangan kepada mana-mana parti yang disertainya.

"Husam aset terbesar kepada mana-mana parti dan kami di AMANAH berdoa beliau menyertai kami. AMANAH sedia menerima," katanya di sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Mohd Anuar membayangkan kesediaan mereka menerima Husam itu seperti "kecil kereta Kancil, lori besar" mereka sanggup sediakan.

Bagaimanapun, Mohd Anuar berkata AMANAH tidak dapat menjanjikan sebarang jawatan untuk Husam.

Namun, katanya, Husam akan diberikan tugas penting seperti mana pemimpin PAS lain yang menyertai mereka.

“Walaupun tiada jawatan di dalam parti, Husam berhak mengkritik dan memberikan pandangan.
Malahan pihak pimpinan tertinggi sedia menerima teguran beliau.

"Kita akan beri tugas yang besar kepada mana-mana pemimpin yang bakal sertai kami pada masa akan datang," kata Anuar.

Husam pernah berkhidmat sebagai exco kanan di Kelantan ketika negeri itu ditadbir oleh Nik Aziz.

Mulai pudar

Bagaimanapun bintangnya mulai pudar selepas jawatan menteri besar bertukar tangan.

Husam kini adalah ADUN Salor dan pernah terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden PAS sebelum beliau bersama kumpulan sederhana dalam parti itu disingkirkan beramai-ramai pada Jun lalu.

Sebelum ini, Ketua Dewan Ulama PAS Datuk Mahfodz Mohamed menyarankan Husam meninggalkan parti itu berikutan kelantangannya mengkritik Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sementara itu, Anuar juga menyarankan PAS supaya membenarkan debat antara antara Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Husam diteruskan.

"Sepatutnya sebagai pencinta demokrasi, debat seperti itu perlu digalakkan, jangan tuduh menuduh di laman sosial saja lebih baik berdepan.

"Kita sentiasa mengharapkan pemimpin negara berdepan organisasi bukan kerajaan (NGO) dan parti politik dalam semua isu," kata Anuar ketika mengulas pendirian PAS yang tidak membenarkan mana-mana pihak menganjurkan perdebatan atau perbincangan secara terbuka membabitkan isu dalaman parti.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan semalam menasihatkan pihak, terutama yang membuat dakwaan terhadap parti dan pimpinan, agar membincangkan perbalahan mereka di peringkat parti.

Sebelum ini, Mustafa dan Husam sudah bersetuju bersemuka dan membincangkan secara terbuka isu berhubung dakwaan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah membuat rancangan menubuhkan kerajaan perpaduan dengan Umno di Selangor pada tahun lalu.


Tiada ulasan: