Ahad, 2 Ogos 2015

Tangkap mereka yang benar-benar bersalah



Oleh Nazrul Nazir


Mahasiswa melahirkan rasa kecewa dan mengecam sekerasnya tindakan Polis Diraja Malaysia menghalang dan menahan peserta demonstrasi #TangkapNajib secara kasar dan tidak berperikemanusiaan yang diadakan di Sogo, petang tadi. Tindakan ini jelas bertentangan dengan prinsip demokrasi dan bercanggah dengan kebebasan bersuara yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Musuh kita yang sebenar bukan rakyat Malaysia yang berhimpun secara aman, musuh kita adalah pemimpin yang korup dan masih memerintah hingga kini. Perlu diingat Malaysia kini berada dalam keadaan yang sangat kritikal.

Krisis 1MDB yang menekan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak menjadikan beliau sanggup melakukan apa saja demi survivor politiknya.

Bayangkan jika Timbalannya sendiri boleh dipecat hanya kerana bersuara menuntut penjelasan, Peguam Negara pula dipecat semasa siasatan ke atas 1MDB masih berjalan, dan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) dilumpuhkan dengan Pengerusi dan 3 anggota dilantik menjadi Menteri Kabinet, apa lagi yang kita boleh harapkan dari seorang Perdana Menteri yang korup ini?

Rakyat tiada pilihan selain bersuara demi Malaysia yang lebih baik. Adakah kesalahan ini lebih besar dari seorang PM yang songlap 700 juta USD ke dalam akaun peribadi sehingga mereka ditahan dan dinafikan hak untuk bersuara?

Kami menyeru supaya Polis melakukan tugas sebenar mereka dengan menahan orang yang sebenar-benarnya bersalah dalam hal ini. Najib Razak harus ditangkap atas kemasukan wang secara haram ke dalam akaun peribadinya, yang bercanggah dengan prinsip seorang penjawat awam, apatah lagi seorang Perdana Menteri walau apapun alasannya. Bukan menahan rakyat yang bersuara menuntut agar keadilan dikembalikan kepada yang hak.

Mahasiswa bersolidariti bersama semua tahanan yang ditangkap hari ini dan semalam. Tindakan mereka ini lahir atas rasa cinta terhadap negara dari terus dirobek pemerintah yang korup, bukan ingin memusnahkan negara. Bebaskan mereka dan tangkap penjenayah besar yang sedang berada di Putrajaya sana.

Membina Kesatuan, Mengukuh Perjuangan.

* Nazrul Nazir merupakan Setiausaha Kesatuan Mahasiswa Malaysia (KESATUAN)


Tiada ulasan: