Jumaat, 28 Ogos 2015

Lebih 200,000 rakyat bakal kuningkan KL

Oleh Fiza Abd Halim


KUALA LUMPUR: Lebih 200,000 rakyat dijangka akan membanjiri perhimpunan Bersih 4 sekaligus menguningkan bandaraya Kuala Lumpur.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0), Maria Chin Abdullah berkata, sasaran itu berdasarkan sambutan luar biasa orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terhadap perhimpunan tersebut.

LOGO KOLUM“Setiap kali kita adakan ceramah, sambutannya sangat luar biasa. Kita jangka perhimpunan kali ini lebih ramai berbanding himpunan Bersih sebelum ini.

“Malah lebih 45,000 T-shirt Bersih 4 telah habis dijual dalam tempoh singkat berbanding jualan pada perhimpunan Bersih sebelum ini,” kata Maria pada sidang media Bersih 4 di sebuah hotel di Petaling Jaya, semalam.

Maria juga menegaskan perhimpunan yang akan bermula 2 petang esok itu tetap diteruskan di lima lokasi berkumpul sebelum peserta berarak menuju sekitar kawasan Dataran Merdeka, dan berakhir pada 11.59 malam 30 Ogos sebelum sambutan Kemerdekaan berlangsung.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak akan melanggar apa-apa halangan yang ditetapkan polis termasuk mematuhi tempoh yang dibenarkan.

“Kita tidak akan melampaui halangan-halangan tersebut. Kita juga tidak akan masuk ke Dataran bagi menghormati majlis raptai dan persiapan menyambut Hari Kemerdekaan.

Maria“Penganjur juga telah dimaklumkan bahawa jalan raya yang ditutup bagi majlis raptai sambutan tersebut hanya ditutup pada waktu-waktu tertentu dan tidak melibatkan jangka masa perhimpunan Bersih 4. Hal ini juga telah disahkan pihak polis,” katanya.

Justeru, Bersih mengajak seluruh rakyat tanpa mengira latar untuk hadir dalam perhimpunan yang penuh bersejarah ini.

“Kami seikhlasnya menjemput para penyokong parti pemerintah terutamanya dari Umno serta penjawat awam seperti SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk bersama-sama rakyat marhaen bagi mendesak perubahan demi negara yang kita cintai,” seru Maria.

Tiada ulasan: