Jumaat, 14 Ogos 2015

Cuaca panas tidak jejas pengeluaran pertanian

SINAR HARIAN


 Cuaca Panas
Pekerja kebun sayur dalam tetap meneruskan kerja menggembur tanah yang kering-kontang akibat cuaca panas terik. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Cuaca panas dan kering berikutan Monsun Barat Daya yang melanda negara sekarang dilihat masih belum menjejaskan pengeluaran sayuran dan buah-buahan tempatan.
 
Ketua Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek berkata, ini kerana dilihat dalam masa seminggu atau dua minggu ini hujan masih turun walaupun sedikit.
 
"Kita tidak menerima sebarang laporan tanaman terjejas. Ini kerana walaupun musim panas tetapi dalam seminggu masih ada hujan,"katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
 
Tambahnya pengeluaran sayuran juga tidak timbul masalah kerana kebanyakan kebun terletak di kawasan berhampiran punca air seperti kolam dan sungai.
 
"Selagi air kolam itu tidak kering, tidak akan timbul masalah," katanya.
 
Mengenai produk buah-buahan pula, Ahmad Zakaria berkata, ia juga tidak mengalami masalah kerana kebanyakan buah telah berbunga dan ada yang telah mula gugur seperti durian.
 
"Buah lain seperti rambutan sudah mula berbuah tetapi masih belum banyak manakala musim mangga harumanis baru sahaja berlalu,"katanya sambil menambah tiada isu lambakan buah-buahan setakat ini.
 
Katanya, terdapat juga buah-buahan yang akan menghasilkan produk lebih berkualiti dalam musim panas dan kering, seperti tembikai.
 
Namun beliau tidak menolak kemungkinan pengeluaran produk boleh terjejas sekiranya musim panas kering yang berterusan sehingga lebih empat bulan, ditambah dengan tiada hujan seperti yang berlaku tahun lepas.
 
"Jika keadaan itu berlaku, kita akan membuat penilaian dan membantu para pekebun,"katanya. - Bernama
 
 

Tiada ulasan: