Pekerja kebun sayur dalam tetap meneruskan kerja menggembur tanah yang kering-kontang akibat cuaca panas terik. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Cuaca panas dan kering berikutan Monsun Barat Daya yang
melanda negara sekarang dilihat masih belum menjejaskan pengeluaran
sayuran dan buah-buahan tempatan.
Ketua Pengarah Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia, Datuk Ahmad
Zakaria Mohamad Sidek berkata, ini kerana dilihat dalam masa seminggu
atau dua minggu ini hujan masih turun walaupun sedikit.
"Kita tidak menerima sebarang laporan tanaman terjejas. Ini kerana
walaupun musim panas tetapi dalam seminggu masih ada hujan,"katanya
ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Tambahnya pengeluaran sayuran juga tidak timbul masalah kerana
kebanyakan kebun terletak di kawasan berhampiran punca air seperti kolam
dan sungai.
"Selagi air kolam itu tidak kering, tidak akan timbul masalah," katanya.
Mengenai produk buah-buahan pula, Ahmad Zakaria berkata, ia juga tidak
mengalami masalah kerana kebanyakan buah telah berbunga dan ada yang
telah mula gugur seperti durian.
"Buah lain seperti rambutan sudah mula berbuah tetapi masih belum
banyak manakala musim mangga harumanis baru sahaja berlalu,"katanya
sambil menambah tiada isu lambakan buah-buahan setakat ini.
Katanya, terdapat juga buah-buahan yang akan menghasilkan produk lebih
berkualiti dalam musim panas dan kering, seperti tembikai.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan pengeluaran produk boleh
terjejas sekiranya musim panas kering yang berterusan sehingga lebih
empat bulan, ditambah dengan tiada hujan seperti yang berlaku tahun
lepas.
"Jika keadaan itu berlaku, kita akan membuat penilaian dan membantu para pekebun,"katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.