Rabu, 22 Julai 2015

Dadah: 'Oh ibu, maafkan dosa silamku'‎

Dadah: 'Oh ibu, maafkan dosa silamku'‎
Shah merindui untuk beraya bersama keluarga.
 
 
“SAYA minta maaf ibu, bapa dan adik-beradik lain, saya berdoa agar mereka terima saya semula, berilah peluang kepada saya,” luah seorang bekas penagih yang hanya mahu dikenali sebagai Shah.
 
Lelaki berusia 32 tahun itu memberitahu, dia tidak tahu kesan jangka panjang yang berlaku pada dirinya akibat penagihan dadah.
 
“Jiwa saya sudah terancam, namun saya sedar, ada pihak yang masih sayang penagih seperti saya walaupun tidak diterima keluarga,” katanya.
 
Katanya, dia amat merindui beraya bersama keluarganya seperti zaman kanak-kanak, dirinya berasa sebak apabila mendengar takbir raya kerana tidak mampu untuk beraya bersama keluarganya lagi.
 
“Saya terkilan, ibu bapa suruh saya keluar dari rumah pada hari raya pertama pada tahun lalu, saya hanya dapat bersalaman dengan mereka sekejap sahaja. Saya anggap itu adalah hari raya terakhir,” katanya.
 
Shah mengimbau kembali detik hitamnya, dia mula terjebak dengan najis dadah seawal usia 14 tahun. 
 
“Saya mula menghisap ganja dan heroin akibat terpengaruh dengan kawan-kawan, di samping itu saya juga menjadi pengedar dadah di sekolah untuk mencari duit sampingan,” katanya.
 
Shah berkata, dia mula abaikan tanggungjawab dan tidak tumpu perhatian terhadap pelajarannya kerana leka dengan aktiviti penagihan dan pengedaran dadah secara kecil-kecilan.
 
“Saya lari dari rumah, tinggalkan sekolah, tinggalkan keluarga setelah mengetahui saya akan ditangkap dan diserahkan kepada polis dan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan).
 
“Saya bersembunyi dan tinggal di Perak  kerana takut diberkas dan tidak mahu jadi banduan,” katanya.
 
Menurutnya, dia bekerja sebagai tukang masak di sebuah restoran selama lima tahun ketika berada di sana.
 
“Saya masih menjadi penagih walaupun sedang bekerja sehinggalah saya diberkas oleh AADK ketika mahu mendapatkan bekalan dadah di bandar,” katanya.
 
Lelaki yang berasal dari kawasan Felda di Pantai Timur itu berkata, dia masih tidak insaf walaupun telah dipenjarakan selama setahun.
 
“Pada 2005, saya hanya boleh bertahan selama enam bulan, tidak mengambil dadah, namun saya belakangkan keluarga sekali lagi setelah berjumpa dengan rakan-rakan penagih yang telah lama saya kenali di kampung halaman,” katanya.
 
Shah anak keempat daripada 10 beradik berkata, dirinya kemudian ditangkap semula pada 2007.
 
“Saya dipenjarakan sebulan atas kesalahan mencuri di ladang kelapa sawit, keluarga mula membuang saya setelah bergelar banduan,” katanya.
 
Dia berkata, tiga tahun kemudian, salah seorang abangnya menghantar dirinya ke Pusat Serenti (Persada) Sungai Besi untuk rawatan.
 
“Pelbagai program disediakan sepanjang tempoh 18 bulan saya berada di sana, namun sekali lagi, saya terjebak semula selepas saya keluar dari sana,” katanya.
 
Shah berkata, dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan wang hasil gajinya digunakan untuk membeli dadah.
 
“Saya terjebak kerana perselisihan faham dengan kawan-kawan, tidak ada sokongan moral daripada mereka dan keluarga, saya hisap dadah kerana mahu lepaskan tekanan,” katanya.
 
Shah berkata, dia berkenalan dengan seorang mak nyah ketika berada di Chow Kit, Kuala Lumpur, selepas berhenti kerja pada 2013.
 
“Saya buat kerja haram seperti curi besi dan menyamun pelanggan mak nyah itu, hasil samun dan curi itu saya guna untuk beli dadah,” katanya.
 
Dia berkata, dia mula sedar dan tampil secara sukarela di Cure and Care di Chow Kit untuk rawatan pada 2014.
 
“Saya mula berfikir kenapa saya tidak boleh hidup seperti orang normal semula, sebelum ke Cure and Care, hidup saya tidak terurus, tidur belakang lorong dan bawah jambatan.
 
“Saya cuba dekatkan diri serta kembali kepada ALLAH SWT, saya mahu berjaya seperti bekas penagih lain, saya tidak mahu hanyut lagi,” katanya.
 
Shah berkata, dia boleh putuskan hubungan dengan orang, namun dia tidak boleh putuskan hubungan dengan ALLAH SWT dan diri sendiri.
 
“Insya-Allah saya akan tunaikan tanggungjawab sebagai orang beragama Islam, sedikit sebanyak ia  mengingatkan saya, kemuliaan manusia datang daripada kebaikan,” katanya.  
 
Tidak halalkan susu!
 
“SAYA minta maaf banyak-banyak emak atas perbuatan dan sikap saya,” luah seorang bekas penagih dadah, Sulaiman Abu Bakar, 51, yang insaf atas perbuatannya.
 
Sulaiman berkata, dia menyesal atas segala perbuatannya ke atas ibunya sepanjang tempoh dia menjadi penagih dadah.
 
“Emak pernah terlepas cakap, dia tidak halalkan susunya kerana sikap saya, bagaimanapun saya yakin emak reda atas perbuatan saya kerana dia berdoa agar ALLAH SWT terima saya untuk berubah.
 
“Saya juga tidak mampu untuk berfikir tentang dosa saya terhadap emak, jiran dan masyarakat sepanjang tempoh saya terjebak dengan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya yang menyatakan perasaan menyesal, bersalah dan pelbagai lagi yang menyelubungi hatinya.
 
Sulaiman mengimbau kembali saat dia mula terjebak dengan aktiviti itu sejak berusia 21 tahun.
 
“Saya seringkali menghisap dadah jenis ganja dan heroin selain minum arak di sebuah bar di ibu kota,” katanya.
 
Katanya, dia pernah ditahan polis dan dipenjarakan selama dua tahun di Seremban pada 1988.
 
“Saya ingat selepas keluar dari penjara, saya boleh buat satu perubahan, namun sikap tidak mahu berhenti menghisap dadah, saya kembali terjebak,” katanya.
 
Sulaiman berkata, nasihat ibunya supaya dia berhenti terlibat dengan dadah juga tidak diendahkan.
 
“Kerja yang boleh saya lakukan ketika hilang hala tuju dulu adalah menyamun, mencuri dan menipu,” katanya.
 
Kata Sulaiman, dia kesal kerana pernah memaki ibunya apabila permintaannya tidak ditunaikan.
 
“Keluarga mula membenci saya, adik-be-radik tidak berani tegur saya, saya juga tipu emak, setiap hari emak sediakan duit untuk saya,” katanya.
 
Menurut Sulaiman, dia pernah masuk pusat serenti sebanyak tiga kali.
 
“Saya tidak serik, tidak sampai dua atau tiga bulan, saya ditangkap semula,” katanya. 
 
Dia yang merupakan anak kelapan daripada 10 beradik berkata, dia mula bertekad untuk membuat perubahan pada dirinya pada tahun 2000.
 
“Pada peringkat awal amat sukar untuk pulih, saya cuba sedaya upaya untuk pulih daripada ketagihan dadah.
 
Setelah tiga tahun, akhirnya saya berjaya untuk pulih ketika berada di Persada Sungai Besi,” katanya.
 
Katanya, dia peroleh banyak motivasi dan sokongan daripada kakitangan AADK ketika berada di sana.
 
“Mereka banyak membimbing dan memberi nasihat dalam tempoh 28 bulan saya berada di sana,” katanya.
 
Sulaiman berkata, seminggu sebelum dia dibebaskan, dia terima khabar yang mengejutkan apabila mengetahui ibunya meninggal dunia.
 
“Saya dapat jumpa emak hanya di tanah perkuburan dengan tangan bergari, ketika itu adik-beradik lain hanya memberitahu, kalau saya mahu jadi orang jangan hisap dadah semula, kalau tidak saya akan duduk di rumah kebajikan sampai mati,” katanya.
 
Dia berkata, pada peringkat awal keluarganya sukar untuk menerimanya semula.
 
“Ia kerana sikap saya, mereka tidak percaya saya mampu berubah dan pulih kerana saya pernah keluar masuk penjara dan kembali semula dengan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.
 
Sulaiman berkata, dia pulih apabila ibunya yang dianggap sebagai tempat bergantung harap telah tiada.
 
“Saya kesal apabila emak tidak sempat melihat kejayaan saya ini. Saya mengambil masa selama enam tahun untuk membina keyakinan adik-beradik lain untuk terima saya semula,” katanya.
 
Sulaiman pernah terlibat dengan Program Bela Insan (Program Pemulihan Dadah) sehingga 2010, sebelum AADK menawarkan pekerjaan sebagai Pembimbing Rakan Sebaya.
 
 

Tiada ulasan: