Mustafa Ali
SHAH ALAM - Pemuda Pas Selangor membatalkan serahan memo ke pejabat DAP
Kebangsaan yang dijadualkan esok selepas mendapat arahan daripada
Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Bagaimanapun, Ketua pemudanya, Syarhan Humaizi Halim tetap mendedahkan kandungan memo yang sepatutnya diserahkan esok.
“Kami menuntut tiga perkara daripada DAP Kebangsaan iaitu, hentikan
segala tuduhan liar terhadap Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang dan
pimpinan Pas sebagai pengkhianat serta tidak jujur dalam Pakatan Rakyat.
“Telah terbukti dan dijawab segala pertuduhan yang dilemparkan DAP
terhadap Presiden Pas dan perjuangan Pas itu sendiri. Jadi sewajarnya
DAP memohon maaf,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Selain itu, Syarhan berkata, pihaknya memohon satu penjelasan kritikal
terhadap tuduhan yang dilemparkan pada Pas antaranya, “pendirian DAP dan
CEC DAP yang memutuskan hubungan dengan Presiden Pas pada 24 Mac 2015
lalu.
“Pada Pemuda Pas Selangor, tindakan CEC DAP itu tidak demokratik dan
menghina pilihan yang diambil oleh ahli-ahli Pas yang memilih Abdul Hadi
Awang sebagai Presiden Pas,” kata kenyataan itu lagi.
Selain itu, pemuda Pas Selangor juga ingin mengetahui tentang
penjelasan dan pendirian DAP terhadap tindakan Ahli Parlimen DAP dari
Perak, Nga Kor Ming yang memfitnah Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din
dalam Facebook beliau dengan menayangkan poster Haron bersama seorang
menteri dengan nada yang menghina.
Di samping itu, Pemuda Pas Selangor juga mahukan penjelasan DAP
berhubung tindakan Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Meng yang
menuduh Presiden Pas sebagai khianat kerana membawa usul persendirian
pindaan Akta Mahkamah Syariah.
“Sedangkan suatu masa dahulu, pada 29 April 2013, Lim Guang Eng dan
Salleh Man bersama sama mengakui hak-hak perjuangan yang tidak
dipersetujui bersama. Tambahan pula, pindaan yang diusulkan Abdul Hadi
Awang tidak melibatkan orang bukan Islam dan dilakukan melalui proses
demokrasi.
“Tuduhan khianat Dr Kian Ming adalah sesuatu tuduhan berat dan perlu
dijelaskan kepada kami tentang atas asas apa beliau sanggup berkata
begitu.
“Dalam pada itu, DAP meyakini kepada demokrasi. Namun DAP cuba menyekat
hak kami untuk membawa private bill ini dengan ugutan dan tuduhan
kepada presiden dan Pas.
“Oleh yang demikian, kami menuntut agar DAP menghentikan campur tangan
terhadap perjuangan Kanun Jenayah Syariah yang di perjuangkan Pas.
Undang-undang yang dibawa hanya berkisar dalam Akta Mahkamah Syariah
yang hanya tertumpu pada orang Islam dan bukan kepada orang bukan Islam.
Jangan sekat hak demokrasi kami untuk membawa private bill ini
seandainya DAP percaya kepada demokrasi tulen,” petik kenyataan itu
lagi.
Mengulas lanjut Syarhan berkata, adalah jelas hukuman dan undang-undang
sedia ada tidak mampu menyelesaikan isu jenayah dan keselamatan rakyat.
“Oleh yang demikian Pas mencadangkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah
sebagai penyelesaian. Sekiranya DAP tidak bersetuju dengan penyelesaian
kepada masalah jenayah yang dibawa Pas maka kami ingin menuntut DAP
mencadangkan penyelesaian kepada masalah jenayah yang berlaku.
“Kami berharap walaupun serahan memo ini terpaksa dibatalkan atas
arahan kepimpinan, mesej kami jelas dan sampai kepada pihak DAP
Kebangsaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan