MALAYSIAKINI
Komander Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abdul Rashid
Harun mengumumkan lanjutan tempoh perintah berkurung di enam daerah di
Zon Selamat Timur Sabah (ESSzone) yang dikenakan sebelum ini yang
berakhir semalam.
Beliau berkata ia bermula pukul 6 petang hingga 6 pagi berkuat kuasa
hari ini sehingga ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak.
Ia merangkumi daerah Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.
Sehubungan itu beliau menyeru agar semua pihak dapat memberi kerjasama
sepanjang perintah berkurung itu bagi mengelakkan perkara yang tidak
diingini berlaku.
"Saya telah berbincang dengan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin
Abdul Rahman mengenai keselamatan di ESSZone dan sehubungan itu di bawah
kuasa-kuasa yang diberi kepada beliau (Jalaluddin) dan Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi oleh Akta Polis 1967, perintah
berkurung akan disambung dengan mengambil kira perkembangan terkini
situasi keselamatan di ESSZone," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat ESSCom di
Lahad Datuk hari ini yang turut dihadiri Timbalan Komander ESSCom, Brig
Jen Subari Tomo dan Pengarah Maritim ESSCom, Laksamana Pertama Maritim,
M. Karunanithi.
Mengenai pematuhan perintah berkurung terdahulu, Abdul Rashid berkata
secara keseluruhan pihaknya berpuas hati dengan kerjasama yang diberikan
anggota masyarakat terutama golongan nelayan.
Namun beliau berkata sepanjang tempoh 14 hari perintah berkurung itu,
ESSCom menahan 46 nelayan berusia antara 19 dan 50 tahun serta 11 buah
bot dalam lapan kes berasingan kerana didapati melanggar arahan.
Katanya tiga daripada kes tersebut akan didakwa di mahkamah di bawah
Seksyen 31 (2) Akta Polis 1967 yang suspek boleh dikenakan hukuman denda
tidak lebih RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya
sekali.
Beliau berkata 37 permit dikeluarkan kepada nelayan di Sandakan dan tiga
di Tawau untuk membenarkan mereka keluar menangkap ikan dalam tempoh
perintah berkurung sebelum ini.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan