MALAYSIAKINI
Datuk Teng Chang Kim hari ini menempelak partinya sendiri, DAP, kerana
mengkritik kehadiran beliau dalam majlis menandatangai perjanjian
industri air antara Selangor dan Putrajaya minggu lalu.
Teng yang juga exco kerajaan tempatan, kajian dan penyelidikan Selangor berkata kritikan itu menunjukkan "ketidakmatangan".
"Saya fikir itu (kritikan) menunjukkan ketidakmatangan mereka (wakil
rakyat DAP) dalam politik. Mereka tidak dapat membezakan politik dan
pentadbiran. Saya kasihankan mereka," kata beliau kepada Malaysiakini.
Rakan parti beliau, ADUN Kinrara Ng Sze Han dan ketua publisiti DAP
Selangor, Ronnie Liu secara terbuka mengkritik Teng kerana terlibat dan
menyokong perjanjian yang belum dipersetujui Pakatan Rakyat.
Ng hari ini meluahkan kekecewaan beliau terhadap Teng di laman
Facebooknya kerana hadir bersama Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid
Ibrahim menandatangani perjanjian tersebut, yang didakwa Ng sebagai
tidak menghormati parti.
"Adakah beliau (Teng) sudah lupa tanggungjawab terhadap parti," kata Ng.
Liu pula mempersoalkan sama ada Teng mengetahui kandungan dan impak
perjanjian tersebut terhadap Selangor, parti dan Pakatan Rakyat.
Teng dengan tegas menyatakan sebagai ahli jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP, Ng dan Liu perlu menghormati beliau.
"Saya sebahagian dari CEC. Ng Sze Han tidak, jadi saya sebahagian dari pasukan yang membuat keputusan (untuk DAP).
"Dia tidak sampai ke status itu, tidak sepatutnya dia buat kenyataan tanpa pemahaman," kata Teng, tegas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan