KELAB GREENBOC
Prof. Dr. HAMKA menjawab “hukum wanita menjadi pemimpin”
Pertanyaan: “Saya pernah mendengar bahwa di negara islam yang harus menjadi kepala negara harus laki-laki. Saya ingin tahu bagaimana hukumnya jika seorang raja diangkat dari wanita? Contohnya ialah dibawah ratu Elisabeth dan Ratu Wilhelmina ?
Jawab :
Memang ada hadis Nabi bahawasanya suatu kaum yang merajakan wanita akan ditimpa kerugian. Berdasarkan kepada hadis itu maka sudah menjadi tradisi (sunnah) bagi Alam Islami tidak mengangkat raja perempuan, apatah lagi menjabat jadi khalifah.
Tetapi sekali dalam sejarah Islam di Mesir, iaitu pada tahun 1249, terjadi seorang perempuan menjadi raja. Namanya ialah Syajaratud Duur (pohon permata). Dia adalah salur galur dari raja Al-Malikus Shalih.
Suaminya pergi berangkat ke Mansuriah, melawan raja Perancis Lodewijk IX dalam satu rentetan perang Salib.
Lalu datang berita bahawa raja itu wafat dalam peperangan, padahal putera yang berhak menjadi raja bernama Khalil masih kecil. Kerana banyak benar yang ingin menjadi raja sedang permaisuri tersebut melihat bahawa bahaya penumpahan darah akan menjadi, beliau pun memaklumkan dirinya menjadi Sultanah, memakai gelaran “Al Mu’tashimat al Shalihiyah Ummu Khalil, ‘ishmad dunya waddin malikatul Muslimin”.
Dia menjadi Ratu Wanita berkuasa penuh sampai kepada tahun 1257. Dia mati terbunuh kerana kekuasaan direbut oleh lawan politiknya.
Menurut penyelidikan sejarah, baru sekali itulah ada raja perempuan di negeri Islam. Salah satu jasa baginda (bagindi?), ialah kerana bagindalah yang mula-mula mengatur mengirimkan “mahmal”, iaitu seekor unta dengan berbagai kebesaran membawa selubung Ka’bah ke Mekah. Adat itu berlaku sampai kepada zaman sekarang ini.
Tetapi ahli-ahli fiqhi sudah menjadi lebih luas pandangannya/ijtihadnya tentang: kalau keadaan memerlukan, wanita boleh diangkat menjadi pemimpin/raja, asal saja orang-orang besar dan penasihat yang berdiri dibelakangnya sanggup memberikan fikiran-fikiran yang benar dan berharga kepada baginda.
Di Indonesia, setelah Iskandar Tsani ‘Alauddin Mogayat Syah, Sultan Aceh yang mengantikan mertuanya Iskandar Muda Mahkota Alam mangkat pada tahun 1641, maka orang-orang besar di Aceh termasuk Ulamak-ulamaknya mengangkat perempuan menjadi pemimpin, iaitu isteri dari Iskandar Muda Mahkota Alam Almarhum, sebab yang mangkat tidak mempunyai putera laki-laki.
Sultan wanita pertama di tanah air kita itu memakai gelaran Sultan Taj’ul Alam Shafiyatuddin Syah. Disebut juga Puteri Seri Alam Permaisuri. Baginda memerintah sampai tahun 1675, iaitu selama 34 tahun.
Dan setelah baginda mangkat, orang besar-besar dan Ulamak memilih pula puterinya, ertinya wanita lagi gantinya dengan gelaran Sultanat Naqiyatud Din Nurul Alam. Beliau mangkat pada tahun 1678, setelah 3 tahun memerintah. Dan yang menggantikannya Sultan perempuan juga, iaitu Sultanat ‘Inayat Syah, memerintah sampai tahun 1688 (10 tahun). Sesudah itu memerintah juga Sultan perempuan, iaitu Sultanat Kamalat Syah, memerintah sampai tahun 1699 (10 tahun).
Setelah kita selidiki sejarah Islam di Aceh dengan agak saksama, ternyata pemerintahan raja perempuan itu berjalan lancar, terutama pada zaman Raja Perempuan Pertama. Sebab pembantu-pembantunya terdiri daripada ahli-ahli musyawarat dan penasihat yang bijak pandai. Nescaya kejadian itu tidaklah akan melanggar bunyi Hadis Nabi tadi, yang mengatakan rugilah suatu kaum kalau yang memimpinnya itu wanita, iaitu kalau wanita itu memerintah menurut kehendaknya sendiri saja, tidak dipelengkapi dengan ahli-ahli musyawarat yang bijak, terdiri daripada kaum laki-laki.
Bahkan laki-laki sendiri pun nescaya merugikan kalau memerintah sendiri saja, tidak dilengkapi dengan ahli-ahli musyawarat yang bijaksana dan turut bertanggungjawab.
Dalam penyelidikan kita di negeri Bugis, terdapat juga “Datuk-datuk” wanita, yang dilengkapi dengan “selewatang” (penasihat), Perdana Menteri atau Menteri-menteri yang ahli. -Dr.HAMKA (Gema Islam 1 April 1963)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan