Oleh NURUL IZZAH ANWAR
Kenyataan
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Seri Tengku Adnan Mansor bahawa
suatu undang-undang akan dilaksanakan bagi mengekang budaya meminta
sedekah adalah suatu tindakan drastik wajar dikecam kerana isu
gelandangan serta peminta sedekah ini berkait rapat dengan isu
kemiskinan tegar; yang buat masa ini usaha kerajaan dalam
menyelesaikannya amat mengecewakan.
Dalam kelima-lima
dasar Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (Dasar Wanita
Negara 2009, Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara, Dasar Sosial Negara ,
Dasar Warga Emas Negara dan Dasar Kebajikan Masyarakat Negara), tiada
satu pun dasar yang diperuntukkan khas untuk masalah orang tidak
berumah/gelandangan.
Di United Kingdom,
Parlimen mereka telah meluluskan sebuah dana £400 juta (RM2.2 Billion)
untuk menubuhkan suatu projek pada tahun 2010 yang menghimpunkan 8
jabatan kerajaan diketuai oleh Jabatan Komuniti dan Kerajaan Tempatan
(Department for Communities and Local Government) bagi menangani isu
gelandangan.
Usaha Ini dibantu Perkhidmatan
Khidmat Nasihat Gelandangan Kebangsaan (National Homelessness Advice
Services) dengan kerjasama Shelters bagi memberikan khidmat konsultan,
latihan kepada NGO-NGO yang ingin membasmi gelandangan, nasihat mengenai
hutang gadaian (mortgage debt advice) dan juga penerbitan isu-isu
mengenai masalah perumahan dan golongan orang tidak berumah, untuk
membantu ke arah meningkatkan kualiti kehidupan mereka.
Kita
juga mampu belajar dari usaha badan bukan kerajaan di Eropah seperti
‘European Federation of National Organisations working with the
Homeless’ (FEANTSA), yang mempunyai 130 organisasi yang bekerja di 30
negara di benua itu.
Antara yang dibincangkan
secara ekstensif adalah masalah perkhidmatan, perlindungan kesihatan dan
sosial, hak keatas rumah dan perancangan bandar, pengangguran, dan
sokongan sosial yang didokong penuh institusi EU, Council of Europe and
United Nations.
Dalam kesemua yang dibincangkan
ini, tiada satu pun yang menyebut tentang polisi untuk menghukum
peminta sedekah apatah lagi ingin menyaman pemberi sedekah kepada
gelandangan ini. Mereka malah bertungkus lumus bersama NGO-NGO untuk
menyelesaikan masalah ini dengan kajian yang rapi, akademik dan mendapat
sokongan sepenuhnya dari kerajaan.
Kerajaan
juga perlu mengambil iktibar daripada kajian-kajian daripada pakar-pakar
ekonomi tempatan dan antarabangsa yang banyak menyatakan bahawa keadaan
ekonomi masyarakat tempatan akan bertambah sempit sekiranya
polisi-polisi kerajaan yang diterapkan tidak dibetulkan.
Kajian
Professor Fatimah Kari dari Pusat Kajian Kemiskinan dan Pembangunan UM
yang telah saya sebutkan sebelum ini menunjukkan; menerusi potongan
subsidi kerajaan secara berperingkat, rakyat, terutamanya isirumah
Melayu dan Bumiputra yang miskin adalah golongan yang paling terkesan
kelak, samada di bandar atau di luar bandar; kadar kemiskinan ini
dijangkakan akan kembali seperti pada tahun 1970 dalam tempoh terdekat
atau sederhana sekiranya isu jurang pendapatan tidak dikawal menerusi
polisi-polisi kerajaan. Bank of America Merrill Lynch juga meramalkan,
Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang tahun 2030.
Saya
menggesa Yang Berhormat Datuk Seri Tengku Adnan Mansor agar menarik
balik cadangan beliau, seraya menggesa kerajaan untuk menjalan usaha
yang lebih giat untuk membasmi kemiskinan seterusnya gelandangan ini
dari puncanya. Punca masalah gelandangan ini perlu diselesaikan terlebih
dahulu, bukannya menghilangkan simptomnya sahaja!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan