MALAYSIAKINI
Selepas beberapa kali perbincangan dengan pihak berkuasa, akhirnya
penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja - jalan besar berhadapan
padang dan bangunan Sultan Abdul Samad - bagi membantah pelaksanaan
Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
Bertemakan warna merah sebagai simbolik perjuangan buruh, Timbalan
Presiden PAS Mohamad Sabu berkata, jalan tersebut akan ditutup bagi
tujuan perhimpunan tersebut yang dijadual berlangsung jam 2 petang esok.
Beliau
berkata, perkara tersebut dipersetujui dalam perbincangan beliau dan
jawatankuasa himpunan itu dengan OCPD Dang Wangi Zainuddin Ahmad
semalam.
Mereka juga bersetuju supaya padang dekat dataran itu tidak dimasuki
oleh peserta himpunan dan menjangkakan peserta akan melimpahi ke Jalan
Tunku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.
Mereka berkumpulan di empat lokasi yang telah ditetapkan, iaitu Masjid Negara, Sogo, Dataran Maybank dan KLCC.
Bagaimanapun, Mohamad berkata hasil pertemuan itu juga memutuskan peserta "tidak dibenarkan berarak".
Beliau
bersama kepemimpinan tertinggi Pakatan Rakyat termasuk Ketua Umum PKR
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir ke perhimpunan itu, tambahnya.
"Di Jalan Raja, akan ada ucapan daripada pemimpin dan wakil NGO,
sepanduk-sepanduk membantah GST, rasuah dan ketirisan dalam hal ekonomi
serta penderitaan rakyat.
"Kita tidak akan masuk ke padang. Kita menghormati (persetujuan)...
Wakil PAS, DAP (dan PKR) akan ada di sana. Polis ada bersama (untuk
mengawal keadaan)," katanya dalam sidang medianya di ibu negara pagi
ini.
Menurut Mohamad lagi, mereka juga tidak berbincang mengenai slogan yang
dibenar sewaktu perhimpunan dan mungkin perhimpunan seumpama itu menjadi
acara tahunan bagi mengingati perjuangan kaum buruh.
'Bentang deklarasi'
"Inilah perhimpunan kali pertama yang disambut oleh rakyat," katanya yang mesra dipanggil 'Abang Mat'.
Turut hadir dalam sidang media itu, Naib Presiden PKR Tian Chua,
Jurucakap Jawatankuasa 1 Mei S Arutchelvan, Ketua Pemuda DAP Teoh Kok
Seong, wakil NGO BERSIH Mandeep Singh, wakil JERIT dan wakil Unit Amal
PAS.
Sementara
itu, Arutchelvan berkata wakil daripada 95 organisasi akan berhimpun
menyambut hari pekerja di KLCC termasuk menyatakan bantahan terhadap
pelaksanaan GST sebelum bergerak ke Dataran Merdeka.
"Satu deklarasi akan dibentang esok," katanya yang juga setiausaha agung
PSM sambil memaklumkan seramai 30 pemantau Suruhanjaya Hak Asasi
Manusia (Suhakam) akan memantau pada perhimpunan itu.
Mengucapkan penghargaan kepada polis, Tian yang juga ahli parlimen Batu
pula menyeru rakyat turun mempertahankan hak berhimpun sekaligus
menyampaikan bantahan terhadap cukai itu serta dasar yang tidak adil
kepada rakyat.
"Rakyat tidak takut lagi dengan himpunan atau tindakan intimidasi. Polis
juga perlu sedar tugas utama meraka ialah menyediakan segala kemudahan
dan bersedia membantu orang awam untuk melaksanakan aktiviti dan hak
perlembagaan," katanya.
Beliau
bagaimanapun enggan mensasarkan jumlah peserta yang akan turun
perhimpunan itu tetapi mahu "seramai mungkin" menyertai perhimpunan itu.
Kemudiannya, Mohamad mengumumkan setakat ini sebanyak 60 bas daripada Kedah akan hadir ke perhimpunan itu esok.
Sementara Teoh berkata menyeru rakyat turut bagi menghantar mesej
membantah tindakan BN yang pernah memberi "janji manis" mahu menangani
isu sara hidup rakyat sebelum pilihan raya umum lalu.
Sebaliknya kini, katanya yang juga ahli parlimen Rasah kerajaan melaksanakan GST yang akan membebankan rakyat.
Seramai 1,500 Unit Amal PAS akan bertugas dan mengawal keadaan pada perhimpunan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan