Rabu, 30 April 2014

Atlit Para Powerlifting Dakwa Terabai, Tidak Dihargai




Mohd Yuspi bersama pingat yang mengharumkan nama negara dalam sukan para.


BUKIT MERTAJAM: Walaupun menyedari dirinya tidak sempurna, namun seorang lelaki yang kudung kaki kiri tidak menjadikan kekurangan itu sebagai alasan untuk berbakti kepada negara.

Dengan semangat juang yang tinggi, Mohd Yuspi Mat Dali, 38, berjaya meletakkan nama negara di kedudukan ke-15 dalam Kejuaraan Powerlifting  Dunia IPC di Dubai pada 11 April lalu.

Kegembiraan Mohd Yuspi yang berjaya bersaing dengan 65 wakil negara-negara lain bagaimanapun tidak kekal lama.

Hal ini kerana, sebaik sahaja tiba di Kuala Lumpur selepas tamat kejohanan, dia diminta pulang ke rumah di Pulau Pinang tanpa dihargai atau dibekalkan sedikit wang saku.

"Semasa menyertai kejuaraan powerlifting di Dubai, Majlis Sukan Negara (MSN) hanya memberikan tiket penerbangan dan tempat tinggal sahaja selain berbekalkan wang yang saya bawa sendiri iaitu sebanyak RM50.

"Oleh itu, ketika pulang bersama kejayaan dan baki wang saku sebanyak RM21, saya rasakan pihak MSN dapat menghantar pulang ke Pulau Pinang atau sekurang-kurangnya membiayai tambang bas.

"Tapi lain pula jadinya apabila saya diminta pulang begitu sahaja tanpa ada sebarang susulan atau penghargaan," katanya sedih ketika ditemui mStar di rumahnya di Mukim 16 di sini.

Sepanjang penglibatan Mohd Yuspi dalam acara powerlifting, dia berjaya meraih pingat gangsa dan perak dalam Sukan Para Asean di Vietnam dan Filipina.


Mohd Yuspi ketika menerima anugerah olahragawan orang kelainanan upaya (OKU) Pulau Pinang.

Selain itu, dia pernah menduduki tempat keempat di Kejohanan Paralimpik Dunia, tempat ketiga dalam Kejohanan Sukan Fespic kelapan di Busan dan meraih kedudukan kelima di Kejohanan Kerusi Roda Dunia Dunia di Christchurch, New Zealand.

Tiada ulasan: