Rabu, 6 Mac 2013

Zuraida Kamaruddin: PR amal budaya turun padang


DETIK DAILY

PILIHAN Raya Umum ke-13 (PRU13) yang bakal berlangsung tidak lama lagi dijangka menjadi antara pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara. Hakikat bahawa pilihan raya kali ini akan menjadi sengit serta mencabar tidak boleh dinafikan kerana kedua-dua pihak iaitu Barisan Nasional (BN) dan juga pakatan pembangkang masing-masing mempunyai keyakinan untuk memenanginya.

Melihat kepada kebangkitan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yakin mandat akan diberikan kepada pakatan untuk mentadbir. Ikuti wawancara bersama Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang dengan Wartawan Sinar Harian, NOOR AZURA SAHRIL dan SITI NURSYAHIDAH ABU BAKAR dan Jurugambar, MIZAN MAT TAMIN untuk mengetahui perancangan beliau serta gerak kerja parti dalam menghadapi PRU13.

Bagaimana YB melihat gerak kerja dan perbezaan sebelum dan selepas khususnya di kawasan Parlimen Ampang?
Rata-ratanya servis kepada rakyat itu  berbeza antara wakil rakyat Kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR). Kita lihat budaya kerja BN mungkin dalam keadaan selesa, nampak kelekaan dan kecuaian.

Memandangkan kami wakil rakyat untuk penggal pertama, pastinya budaya kerja kami berbeza dengan sentiasa turun padang, mendampingi rakyat dan menyelesaikan masalah rakyat dalam kawasan. Sewaktu BN, rakyat tidak mengenali siapa ahli majlis, iaitu jawatan yang sangat penting dalam menyokong khidmat kepada rakyat adalah mengenali pihak berkuasa tempatan (PBT).

Rakyat kini mengenali Adun dan kerap berjumpa dengan Ahli Parlimen. Apabila turun pandang, kami memperkenalkan ahli majlis yang bertanggungjawab dengan sesebuah kawasan. Sebarang masalah boleh merujuk kepada mereka yang membuat kerja sepenuh masa. Dengan itu, rakyat berasa diri mereka dihargai berbanding dahulu, perbezaannya sungguh ketara.

Apakah antara  usaha yang dilakukan YB dalam menambah baik dan menyelesaikan masalah di kawasan Parlimen Ampang?
Ada banyak perkara yang rutin seperti pengurusan kawasan, sampah, longkang. Namun, ada juga isu  yang lebih besar, seperti menguruskan dan mewarisi beberapa isu yang ditinggalkan BN, seperti penambahbaikan semula kawasan setinggan.

Pada 2007, bekas Menteri Besar Selangor ketika itu, menyasarkan sifar setinggan, tetapi rumahnya pun sifar. Banyak kerja terbengkalai, isu pampasan, pertindihan nama, pembinaan rumah yang  rendah standard.

Akibatnya, rumah  murah yang dibina berkualiti rendah, rumah retak, sistem yang tidak efektif dan sistem pembetungan yang tidak sempurna... Ampang, merupakan kawasan penempatan setinggan ketika itu, justeru pelaksanaan perlu dilakukan dengan adil. Alhamdulillah, saya dapat menguruskannya dengan baik, memanggil pihak terbabit, dengan mewujudkan situasi menang-menang antara penduduk dengan pihak pemaju.

Polisi kami, apa juga  perlu bergerak ke hadapan untuk menyelesaikan masalah mereka. Tidak boleh mengaitkan pihak sebelum ini yang melakukan kesilapan.

Beralih kepada kepimpinan  parti, bagaimana YB melihat peluang PKR dalam saingan di peringkat pusat?
Meskipun PKR baru dibentuk 14 tahun lalu, dan merupakan parti termuda di negara ini, tetapi PRU 2008, PKR memenangi 31 kerusi di peringkat Parlimen. Pada PRU kali ini juga, PKR bertanding kerusi paling banyak iaitu hampir 100 kerusi di peringkat Parlimen.

PKR ini meletakkan PKR sebagai satu parti yang akan ke hadapan kerana asas parti itu adalah berbilang kaum, keterbukaan dan cara pengendaliannya dengan menampilkan tokoh muda yang pelbagai latar belakang. PKR lebih progresif daripada idea, dari segi tindakan dan memberi  pandangan. Itu meletakkan PKR tahap ke hadapan dan jika tanyakan pada saya,  PKR merupakan parti untuk masa depan.

PKR dilihat lebih dominan berbanding DAP dan Pas?
Keseimbangan dalam Pakatan Rakyat. PKR dilihat lebih dominan dari segi suaranya, kita lihat dalam kenyataan dan sidang media mengenai pembongkaran dan isu berkaitan, polisi lebih ke hadapan.

Walhal Pas dan DAP adalah parti yang lama 50 tahun bertapak, mungkin dalam situasi parti yang lama, banyak struktur dan sistem yang perlu ditempuhi sebelum sesuatu keputusan dan pandangan itu dibuat. Jadi itu melambatkan mereka menyuarakan pandangan dan memberi pandangan yang radikal. Tetapi PKR diberikan ruang menyuarakan, selagi tidak melanggar peraturan parti.

Bagaimana peluang pembabitan wanita dalam parti, adakah sudah mencapai tahap 30 peratus?
Meskipun parti termuda tetapi PKR adalah parti pertama dalam Perlembagaan telah menetapkan 30 peratus pembabitan wanita dalam kepimpinan peringkat pusat. Kepimpinan parti juga diingatkan bahawa setiap jawatankuasa, program parti perlu pembabitan wanita sebanyak 30 peratus.

Ini menjadi perkara yang harus diingatkan dalam urusan parti. Kita adalah parti pertama dan parti komited malah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri komited dalam PRU ini memastikan  bahawa cukup calon wanita untuk diketengahkan.

Namun demikian, pada PRU 13, saya tidak dapat penuhi 30 peratus wanita yang dapat saya ketengahkan, tetapi Alhamdulillah lebih daripada 2008. Di Selangor, mungkin saya dapat sasarkan 30 peratus.

Adakah parti akan mengekalkan kepimpinan wanita yang menang pada PRU kali ini?
Insya-ALLAH, calon wanita akan dikekalkan dan ditambah dengan wanita muda dan golongan profesional. Pemilihan wanita sebagai calon perlu seimbang, tidak boleh hanya meletakkan golongan profesional semata-mata. Yang lebih penting adalah boleh berkhidmat kepada rakyat dan peringkat akar umbi.

Yang pentingnya ada keterampilan untuk mendampingi rakyat, boleh berkhidmat dengan rakyat dan kedua barulah kelayakan akademik. Di Selangor khususnya, bagaimana YB melihat peluang untuk PKR dan PR kekal memerintah lantaran banyak isu berbangkit yang gagal dilaksanakan di negeri itu.

Rakyat di Selangor faham dan sudah masak dengan mainan politik. Kalau dikatakan PKR gagal sesetengah perkara, mereka (BN)  juga pernah gagal dalam sesetengah isu. Ini bukan isu menyalahkan semata-mata, itu politik cetek dan kebudak-budakan.

Perlu lihat perkara yang lebih besar, di mana agenda kita adalah pemimpin yang jujur dan amanah, tidak menyeleweng dan tidak rasuah. Ini yang lebih penting. Setakat manifesto itu, ia boleh dilaksanakan, tetapi kalau tunjangnya tidak jujur, tidak guna melaksanakannya tetapi tiada kesungguhan dalam memastikan bahawa rakyat menerima apa yang sepatutnya.

Sekiranya PKR sekali lagi mengekalkan kemenangan di Selangor, adakah ia merupakan kemenangan mutlak untuk PR untuk kekalkan negeri sedia ada?
Selangor menjadi contoh dan model Kerajaan PR. Apabila saya menjelajah ke seluruh negara, kita menceritakan kejayaan Selangor dan ini dicemburui rakyat di negeri lain.

Sebab itu mereka bangkit, dan berjanji akan membawa perubahan dalam PRU13 kerana mereka lihat kejayaan di Selangor dan hasilnya diberikan rakyat, kenapa tidak di negeri lain. Selangor menjadi model, selama beberapa tahun PKR memerintah tiada kes rasuah, tiada kes penyelewengan, malah lebih banyak kebaikan kepada rakyat.

Bagaimana YB melihat peluang Pakatan khususnya di negeri-negeri sedia ada?
PR pastinya akan mengekalkan empat negeri sedia ada, iaitu Selangor, Kedah, Pulau Pinang dan Kelantan. Manakala negeri lain iaitu di Perak, Negeri Sembilan, Sabah, Melaka dan Pahang akan berjaya ditawan. Di Johor juga, PR yakin ada tambahan kerusi untuk kita menang, begitu juga di Terengganu.

Saya menjelajah seluruh negara, memberikan penerangan dan sebagainya, di mana mood rakyat, beri peluang kepada PR untuk lima tahun mengambil alih Putrajaya. Rakyat sudah bersedia mencuba memberi peluang untuk mengambil alih Putrajaya.

Sekiranya berjaya menjadi Kerajaan Pusat, adakah tempoh lima tahun atau satu penggal itu sudah mencukupi buat PR?
Pada PRU 2008, mana sangka kita akan menang, tetapi di Selangor kita tadbir dengan elok dan terbukti. Begitu juga di Kedah, Kelantan dan Pulau Pinang.

Kalau katakan, PR tidak mempunyai kepimpinan yang berpengalaman, mereka juga bermula tanpa pengalaman... tapi yang penting apabila kita ambil alih ia membawa hasil yang lebih berlipat kali ganda di Selangor.

Bagaimana pula dalam konteks di Sabah Sarawak, adakah sukar bagi PR menembusinya? Adakah manifesto Pakatan Harapan Rakyat yang diumumkan baru-baru ini turut merangkumi keperluan untuk rakyat Sabah dan Sarawak?
Tidak juga, kerana kalau kita lihat pilihan raya kecil (PRK) di Sarawak, kita (PR) menang 15 Kerusi Dun, dan jika ditafsirkan menjadi 8 kerusi Parlimen. Itu kami yakin akan menang 8 kerusi di Sarawak.

Jadi di Sabah, ada kebangkitan “Ini kalilah”, mereka mahu berubah kerana orang Sabah melihat contoh di Selangor, mereka tahu negeri mereka kaya, kenapa Selangor boleh buat, tetapi kenapa mereka tidak.

Ada kesedaran yang besar di Sabah, sebelum 2000, wakil rakyat BN tidak berani menyuarakan kesusahan di Sabah, Sarawak kerana mereka tunduk dan dibuli Kerajaan BN di Semenanjung. Tetapi kami PR sebagai ahli parlimen, dalam menjelajah Sabah dan Sarawak membangkitkan masalah dan isu mereka di Parlimen, antaranya isu air, elektrik dan pelbagai lagi kemudahan asas.

Ya, Kita ada menyediakan manifesto khas untuk Sabah dan Sarawak. Begitu juga dengan negeri-negeri lain yang akan kita rangkumkan dengan manifesto nasional.

Sekiranya PR menang di pusat, adakah akan berlaku perebutan jawatan perdana menteri antara Anwar dan Hadi? Atau ia hanya mainan politik yang cuba ditimbulkan pihak tertentu?
Saya melihat tidak ada masalah perebutan jawatan perdana menteri. Pimpinan semua parti dalam PR telah mempersetujui calon pertama PM kita ialah Anwar.

Perkara ini telah ditetapkan sejak perjanjian antara PR termeterai pada 2008. Sudah tentu pihak lawan cuba hendak mempolitikkan isu ini dan kita tidak ambil pusing. Ini kerana mereka sendiri kabur dan masih teraba-raba untuk mencari kepimpinan selain Najib.

Bagi pendapat YB, apakah kunci kemenangan yang perlu ada dalam tiga parti PR, untuk melakar sejarah menang di Putrajaya? Adakah kunci itu telah wujud dalam gabungan ini?
Apa yang ketiga-tiga parti utamakan ialah good governance. Maknanya, kita amat mementingkan tata kelolaan negara yang baik, tanpa rasuah, penyelewengan dan pecah amanah. Atas dasar yang dipegang itu, insya-ALLAH rakyat sendiri akan mendapat manfaatnya.

Mungkin ada perbezaan pendekatan antara ketiga-tiga parti, tetapi itu hanya perkara kecil kerana yang pentingnya ialah good governance.

Adakah YB akan bertanding dalam PRU13 di kerusi sama? Bagaimana YB sebagai Ketua Wanita PKR melihat PR telah berjaya membawa perubahan terutamanya dalam isu berkaitan wanita?
Insya-ALLAH saya akan terus bertanding di kawasan Ampang. Bukan kawasan saya saja yang menjadi keutamaan, sebaliknya saya juga akan berjuang agar PR dapat mempertahankan Selangor dan seterusnya memenangi Putrajaya. Dari segi perubahan, banyak.

Antaranya membawa idea baru untuk meningkatkan kualiti hidup kaum wanita. Kita memberi mereka pengetahuan dan pembelajaran mengenai peranan wanita dalam landskap politik. Amat penting untuk wanita tahu peranan mereka dalam menyumbangkan pandangan dalam menggubal polisi, bukan saja berkaitan wanita tetapi juga seluruh negara.

Kita juga tidak memandang ringan peranan wanita dalam PRU13 kerana lebih separuh daripada penduduk adalah daripada golongan tersebut. Masa depan PRU13 terletak dalam tangan pengundi wanita. Oleh itu, PKR telah mengeluarkan satu buku Agenda Wanita Malaysia yang di dalamnya ada banyak tawaran untuk memartabatkan wanita.

Boleh YB jelaskan mengenai Agenda Wanita Malaysia ini?
Agenda ini tertumpu kepada tujuh penggubalan polisi untuk meningkatkan taraf kualiti hidup wanita berdasarkan falsafah hormat wanita. Tujuh tumpuan itu ialah pendidikan, kesihatan, pendemokrasian, undang-undang, kesejahteraan sosial, agenda wanita muda dan ekonomi.

Tawaran utamanya ialah kita akan melancarkan program Caruman Wanita Malaysia. Setiap isteri dalam keluarga yang berpendapatan bawah RM1,500 akan menerima tabungan sebanyak RM600 setahun. Duit ini tidak boleh dikeluarkan sebaliknya digunakan jika wanita tersebut ditimpa musibah seperti kematian suami, diceraikan atau suami hilang keupayaan.

Selain itu, caruman ini juga bertindak sebagai skim perubatan sekiranya kaum wanita berdepan dengan masalah kesihatan. Jika kaum wanita tidak mengeluarkan duit ini sehingga umur mereka 50 tahun, mereka akan mendapat jumlah tabungan dalam anggaran RM30,000. Inilah penghargaan PR kepada peranan wanita.

Dalam PRU13, kawasan manakah yang menjadi tumpuan PR untuk dimenangi di Selangor?
Di Selangor, kita masih belum memenangi 20 kerusi tetapi ada tiga kerusi Parlimen yang kita mahu rampas iaitu Pandan, Sabak Bernam dan Hulu Selangor. Kita sudah ada calon untuk Pandan iaitu Rafizi Ramli dan Profesor Aziz Bari di Hulu Selangor.

Sementara di Hulu Selangor masih belum boleh diumumkan. Namun, dengan kredibiliti calon berprofil tinggi ini, kita berkeyakinan tinggi untuk merampas tiga kerusi tersebut.

Setakat ini, bagaimana dengan proses pembahagian kerusi dan persiapan jentera pilihan raya PR?
Proses pembahagian kerusi sudah hampir selesai dan kita akan umumkan sebelum Parlimen dibubarkan. Dari segi persiapan jentera, kita sememangnya sudah bersedia sejak 2008 lagi.

Kita sudah mula memperkukuhkan ranting dan jentera di peti undi. Selain itu, kita juga bergerak melaksanakan latihan menjejak pengundi, melaksanakan pelbagai siri ceramah dan persiapan ini akan diperhebatkan menjelang PRU13.

Terdapat situasi peningkatan pengundi yang mendadak di sesetengah kawasan. Adakah ini bermakna Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak telus?
Selepas 2008, kita memang agresif merekrut pengundi baru. Jadi memang tidak dinafikan berlakunya pertambahan pengundi. Namun, senarai pengundi yang dikeluarkan SPR dikesan sering tidak konsisten. Sistem daftar pemilih SPR sepatutnya canggih tetapi masih berlaku kesilapan kecil dan mudah seperti masalah pertukaran alamat.

Seolah-olah sistem ini sengaja tidak mahu dinaiktarafkan dan dikemas kini agar mudah dilakukan penyelewengan. Saya melihat selagi SPR tidak ditukar sebagai sebuah badan bebas, selagi itulah SPR tidak telus dan menjalankan tanggungjawabnya dengan adil kerana dikawal oleh kerajaan. Sekiranya PR menawan Putrajaya, kita akan memastikan SPR dirombak dan menjadi badan bebas yang hanya melakukan tugasnya.

Tun Mahathir pernah mengeluarkan kenyataan rakyat perlu ambil serius amaran Anwar yang akan mengadakan Arab Spring sekiranya PR kalah. Adakah Arab Spring benar-benar akan terjadi?
Bagi saya, itu hanyalah taktik BN untuk menakut-nakutkan rakyat. Saya yakin Arab Spring tidak mungkin terjadi di Malaysia.

Tiada ulasan: