PETALING JAYA: Pemergian dua Wakil PKR ke Manila tidak mempunyai kaitan dengan konflik semasa di Lahad Datu, Sabah sebaliknya menuntut penjelasan terhadap dakwaan penipuan yang melibatkan individu yang dikehendaki polis Filipina, Manuel Karingal Amalilio.
Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pemergian Naib Presiden PKR, Tian Chua bersama peguam R Sivarasa pada 7 Februari lalu bertujuan mendapatkan maklumat sebenar berhubung kes berkenaan.
Ini kerana menurut Anwar, kes membabitkan Amalilio agak menghairankan berikutan tindakan pantas pihak berkuasa Malaysia seperti mana didakwa Tian Chua sebelum ini bagi menggelakkan deportasi Amalilio ke Filipina.
Amalilio dipenjara selama dua tahun atas tuduhan memiliki pasport palsu, selepas majistret memutuskan hukuman tersebut di wad Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu 4 Januari lalu.
“Dalam masa singkat terus ditangkap dan diletakan dalam lokap. Disyaki mengelak untuk dikirim (pulang) ke Filipina.
“Dia punyai dua pasport. Satu Malaysia dan satu Filipina. Dia didakwa mempunyai pasport palsu Filipina.
“Jadi Kerajaan Filipina mengatakan sepatutnya dikirim balik untuk siasatan,” jawab Anwar.
Hasil pertemuan dengan pihak berkuasa negara itu mengesahkan pasport Filipina yang dikeluarkan kepada Amalilio pada 2009 adalah tulen dan sah.
Amalilio yang mempunyai hubungan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Aman didakwa terlibat didalam kes penipuan terhadap lebih 15,000 orang rakyat Filipina, majoritinya umat Islam yang membabitkan wang bernilai hampir RM900 juta (12 bilion peso).
Anwar sebelum ini mendesak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberikan kerjasama kepada kerajaan Filipina demi memastikan isu ini tidak menggangu sebarang hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan