Oleh Mohd Arif Juhani
KUALA LUMPUR : Pendedahan video skandal tanah melibatkan Ketua
Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud menunjukkan tahap sebenar rasuah di
Malaysia dan bukti jenayah itu dijalankan golongan pemerintah secara
sistematik.
Pada sidang media hari ini, Setiausaha Agung Transparency
International Malaysia (TI-M), Josie Fernandez berkata demikian merujuk
bukti rakaman oleh Global Witness (GW).
Rakaman itu mendedahkan pertemuan ahli keluarga Taib dan ejen syarikat dengan penyiasat GW yang menyamar sebagai pelabur asing.
Dalam video itu, mereka mengakui skandal rasuah tanah yang berlaku
dan peguam menjelaskan kaedah yang digunakan bagi mengelak dicekup pihak
berkuasa dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.
“Rasuah menjadi kegiatan sistematik, dikendalikan oleh ahli politik,
pegawai kerajaan, peguam dan sebagainya,” katanya sambil menyifatkan
Taib sebagai pemimpin rasuah.
Josie turut menggariskan beberapa tuntutan segera TI-M agar skandal rasuah tanah di Sarawak ditangani segera.
“TI-M menggesa Taib segera meletak jawatan sementara menunggu
siasatan ke atas video dan meminta Jabatan Hasil Dalam Negeri menyiasat
pendedahan itu yang dinyatakan melakukan pengelakan cukai.
“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan bebas dari kawalan kerajaan,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan Singapura menyiasat aliran wang haram
yang dibawa dari Sarawak ke negara itu seperti yang didedahkan dalam
video berkenaan.
Josie turut mendesak Majlis Peguam Sarawak meneliti kenyataan peguam,
Alvin Chong yang mempunyai kepentingan besar dalam kerajaan negeri dan
syarikat kroni Taib.
“Masalah rasuah ini begitu kronik. Ketua Pengarah Perhutanan Sarawak
juga wajib menyiasat penjualan tanah di negeri itu,” katanya.
Sidang media di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) itu adalah mengenai rasuah tanah Sarawak.
Hadir sama, aktivis Hishamuddin Rais; Koordinator Asalkan Bukan Umno
(ABU), Haris Ibrahim; Pengarah Eksekutif Suara Rakyat Malaysia (Suaram),
Cynthia Gabriel; dan aktivis sosial. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan