Oleh Norutul Ilham
KUALA LUMPUR: Keputusan pembatalan pertuduhan ke atas Timbalan
Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali dan Ketua Cabang Rembau, Badrul
Hisham Shaharin berhubung penyertaan mereka di Himpunan Bersih 3.0 akan
didengar pada 19 April.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Kamardin Hisham menetapkan
keputusan itu dalam kamarnya hari ini selepas mendengar hujahan peguam
pendakwa dan peguam bela.
Azmin dan Badrul Hisham atau dikenali Chegu Bard diwakili peguam Datuk Yusof Zainal Abidin, Sankara Nair dan Praba Karan.
Kedua-dua mereka dituduh melakukan kesalahan itu pada 22 Mei tahun lalu bersama Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman
kerana didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 3.0 pada 28
April 2012 dan melanggar perintah mahkamah yang menghalang perhimpunan
tersebut.
Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan,
iaitu bersama penyokong Bersih 3.0 yang melebihi lima orang yang masih
bebas, dalam mencapai niat bersama, mengingkari perintah Majistret Zaki
Asyraf Zubir pada 26 April 2012.
Azmin dituduh bersubahat dan menghasut R Tangam, K Rajesh dan Farhan
Ibrahim membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin
menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.
Sementara itu, Sankara ketika ditemui media memberitahu, prosiding
hari ini untuk mendengar hujahan peguam defendan bagi membatalkan
pertuduhan ke atas Azmin dan Chegu Bard.
“Hari ini pendengaran hujahan bagi membatalkan tuduhan Azmin dan Chegu Bard.
“Dalam hujahan, kita menyebut bahawa pegawai polis dari Balai Polis
Dang Wangi memohon dengan Majistret untuk menghalang perhimpunan Bersih
3.0 diadakan di Dataran Merdeka tidak dibuat secara tepat berdasarkan
undang-undang,” katanya di perkarangan mahkamah di sini.
Azmin yang turut sama mendengar prosiding hari ini menyifatkan
pertuduhan ke atasnya berniat jahat kerana dibuat secara tidak tepat.
“Peguam telah berhujah, ada unsur mala fide (berniat jahat) dalam
permohonan tersebut dan minta Mahkamah Tinggi meneliti supaya perintah
larangan yang dikeluarkan Majistret adalah tidak sah. Jika tidak sah,
maka pertuduhan ke atas saya juga tidak sah,” katanya. – NS
Tiada ulasan:
Catat Ulasan