Selasa, 5 Mac 2013

SPR Gagal Kikis Tanggapan Berat Sebelah, Tidak Adil Di Mata Rakyat


ambiga persidangan pru 13 01

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal mengikis tanggapan umum bahawa ia bebas dari pengaruh mana-mana parti politik dan tidak berat sebelah.

Ini disebabkan beberapa kenyataan SPR sebelum ini yang membuktikan bahawa badan itu tidak bersikap adil kepada semua parti politik dan menguntungkan Umno-BN.

Menurut Pengerusi Bersama NGO Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0), Datuk Ambiga Sreenevasan, semua parti politik haruslah diberikan layanan sama rata.

“Masalahnya sekarang pihak yang diberi tanggungjawab ini SPR adalah sebuah badan yang semakin hilang kepercayaan rakyat.

“Begitu juga dengan kebebasan media untuk pembangkang, ianya bagaikan satu gurauan.

“Dakwaan mereka kononnya negara ini amalkan kebebasan media adalah satu penghinaan kepada kebijaksanaan rakyat,” kata Ambiga dalam Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia hari ini.

Ambiga juga melahirkan rasa kesal apabila SPR tahun lalu mengeluarkan kenyataan kononnya tidak mempunyai masa mencukupi untuk membersihkan daftar pemilih.

“Mereka cakap tidak cukup masa, sampai sekarang dah 10 bulan berlalu, apa yang mereka buat?”

Sementara itu, Ambiga turut berkata BERSIH 2.0 akan menggerakkan kira-kira 10,000 sukarelawan pemantau bagi memantau dalam PRU-13 nanti.

Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum Ke-13 Malaysia merupakan persidangan yang dianjurkan Pejabat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persidangan yang asalnya dirancang diadakan di bangunan parlimen itu dipindahkan ke Kelab Taman Perdana Diraja disebabkan tidak mendapat kebenaran Yang di-Pertua Dewan Rakyat Malaysia, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Persidangan yang diadakan dua hari itu turut dihadiri panelis yang terdiri pelbagai latar belakang politik, pertubuhan dan wakil antarabangsa.

Tiada ulasan: