Selasa, 12 Mac 2013
Serang pejabat: Polis gagal bertindak - Rafizi
PETALING JAYA: PKR hari ini mendakwa polis gagal mengambil sebarang tindakan terhadap serangan ketas bangunan ibu pejabat parti itu semalam yang dipercayai dilakukan oleh sekumpulan ahli Umno.
Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli berkata, Balai Polis Tropicana terletak selang dua pintu dari pejabat itu namun tiada seorang pun anggota yang menghalang perbuatan serangan fizikal dengan membaling telur, batu, kon, selain mengugut untuk membakar bangunan tersebut.
Beliau mendakwa politik kebencian yang ditanam cuba mengaitkan kepimpinan pembangkang dengan insiden pencerobohan Lahad Datu mengakibatkan serangan fizikal terhadap individu dan harta benda termasuk insiden pergaduhan di Melaka baru-baru ini.
"Keganasan ini adalah terancang kerana mereka membawa telur, kayu dan kon lalulintas semata-mata bagi tujuan itu.
"Malah sepanjang kejadian ini berlaku tidak ada seorang anggota polis pun campur tangan untuk menghentikan perlakuan ganas yang melanggar undang-undang," katanya kepada pemberita pada sidang media sebentar tadi.
Semalam sekumpulan penyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dipercayai pro-Umno telah menyerang ibu pejabat PKR dengan membaling telur, batu dan kayu selain membakar bendera PKR.
Setiausaha Kerja Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syed Badli Shah Syed Othman yang berada di tempat kejadian berkata kumpulan tersebut disertai oleh Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin dan Pesuruhjaya TIBAI Wilayah Persekutuan dan Selangor, Wan Indra Putra Ahmad.
Kumpulan itu bertindak sedemikian dipercayai bagi membantah kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyifatkan insiden pencerobohan Lahad Datu di Sabah adalah sandiwara Umno.
Bagaimanapun semalam Hamidzun menafikan beliau terlibat dalam insiden tersebut dan akan mengambil tindakan saman terhadap Syed Badli kerana memfitnahnya merancang serangan tersebut.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan