KUALA LUMPUR: Keputusan meletakkan Wong Tack untuk bertanding di kerusi
Parlimen Bentong akan menjadi batu loncatan kepada Pakatan Rakyat untuk
menawan Putrajaya, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Beliau berkata Pengerusi Persatuan Himpunan Hijau itu mempunyai aura
dan pengaruhnya yang tersendiri dan mampu menarik lebih lebih banyak
sokongan rakyat kepada gagasan itu, terutama di kalangan penduduk
tempatan yang membantah operasi kilang Lynas di Gebeng.
"Sejarah besar akan tercipta jika DAP berjaya mengalahkan Barisan
Nasional (BN), sekaligus memudahkan perjalanan mereka ke Putrajaya.
"Pakatan Rakyat amat komited dan serius dalam usaha menawan Putrajaya
bagi membawa perubahan dari pelbagai sudut, seperti dasar dan
pembangunan," kata Guan Eng pada sidang medianya di Ibu Pejabat DAP
petang tadi.
Wong Tack sebelum ini mengetuai beberapa siri bantahan operasi kilang
Lynas kerana mendakwa ia membahaya dan merisikokan kesihatan penduduk
dan kehidupan yang berada berhampiran dengan kawasan itu.
Beliau sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi apabila mengugut
untuk membakar kilang itu jika kerajaan persekutuan enggan menutup
operasinya.
Ugutan Wong Tack itu mendapat kritikan banyak pihak sehingga menyebabkan beliau memohon maaf di atas tindakannya itu.
Naib Presiden PKR, Fuziah Salleh ketika dihubungi Antarapos berkata
ugutan Wong Tack itu adalah tindakan peribadinya dan PKR tidak bersama
dengannya.
Dengan pengumuman bersabit pencalonannya itu, Wong Tack secara rasminya
akan berdepan penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Liow Tiong
Lai.
Tiong Lai sebelum ini mengalahkan pencabarnya dari PKR, Ponusamy Govindasamy dengan majoriti 12,549 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan