Rabu, 13 Mac 2013

Sabah diceroboh: Polis buka kertas siasatan

SINAR HARIAN

Sabah diceroboh
Sabah diceroboh
 
KUALA LUMPUR - Polis membuka dua kertas siasatan berhubung kejadian pencerobohan di Lahad Datu dan Semporna, Sabah, kata Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar
   
Beliau berkata pihaknya akan berbincang dengan Peguam Negara bagi menentukan tindakan berdasarkan undang-undang yang akan dikenakan terhadap mereka yang ditahan kerana disyaki mempunyai kaitan dengan penceroboh militan itu.
 
"Biar kita berunding dahulu dengan pihak Peguam Negara untuk siasat kes ini di bawah Seksyen 130 Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA 2012) dan Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Cek Wira Operasi Daulat.
 
Turut hadir Pengerusi Felda Global Venture (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Ketua Pegawai Operasi Perkhidmatan dan Hartanah DRB-Hicom Berhad Datuk Mohamed Razeek Md Hussain.
 
 Khalid berkata polis sentiasa mengawasi keadaan di Lahad Datu dan mengambil langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan negara dan rakyat terjamin.

Dalam pada itu, Khalid berkata polis akan mengambil tindakan terhadap individu yang memperlekeh dan mempersoal tindakan anggota keselamatan yang terkorban dan cedera dalam Operasi Daulat.
 
Tindakan juga akan dikenakan terhadap pihak yang menyebar dan membuat sebarang ulasan negatif mengenai tindakan pasukan keselamatan negara, katanya.
 
"Saya ingin memberi amaran kepada mereka-mereka ini, arahan telah dikeluarkan supaya mengesan individu yang mengeluarkan kenyataan yang mencerca dan menghina tindakan pasukan keselamatan kita ini. Ini satu perbuatan yang amat keji.
  
"Jadi saya minta hentikan sebarang 'statement' yang menghina, mempersenda dan memperlekeh apa jua tindakan keselamatan negara kita kerana kita akan menjejaki mereka sehingga dapat," katanya.
 
Beliau berkata polis dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memantau semua laman web dan media sosial bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.
 
Pada majlis itu, FGV memberi sumbangan RM120,000 dan DRB-Hicom RM98,000 kepada waris lapan anggota polis yang terkoban dan lima yang cedera dalam Operasi Daulat.

Dalam pada itu, polis akan mengambil tindakan terhadap pihak yang memuat naik di laman sosial gambar-gambar anggota keselamatan yang terkorban dalam insiden di Lahad Datu yang tidak sepatutnya disiarkan.
 
Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusof berkata perbuatan tidak beretika itu boleh menyinggung perasaan anggota keluarga pasukan keselamatan dan warga polis sendiri.
 
"Tolonglah hormati perasaan mereka. Jangan tambah kesedihan mereka lagi dengan menyebarkan gambar-gambar sebegitu," katanya ketika dihubungi Bernama.
 
Gesaan sama turut dibuat Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye yang meminta pihak berkenaan perlu menghentikan segera perbuatan tidak wajar itu.- Bernama

Tiada ulasan: