Rabu, 13 Mac 2013

Najib: Pemilihan calon BN hampir siap

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN

Najib Tun Razak
Dato' Seri Najib Tun Razak
 
SHAH ALAM - Masih berteka-teki bila sebenarnya tarikh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan mahu memastikan transformasi yang dilakukan termasuk dari sudut ekonomi difahami dan dirasai kesannya oleh rakyat.

Sehubungan itu, Najib menaruh sepenuh harapan agar rakyat dapat memberi mandat penuh kepada Barisan Nasional (BN) pada PRU13 ini bagi membolehkan kerajaan sedia ada meneruskan dasar-dasar yang telah dibawa termasuk pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) secara berkala.
"Apabila kami merancang sesuatu, ia memang mengambil masa (untuk menunjukkan hasil), namun saya gembira kerana hasilnya positif.
"Ini adalah masa untuk kita menaruh keyakinan terhadap kerajaan yang mempunyai rekod pencapaian kukuh," ujar Najib pada program 'Conversation With The PM' yang disiarkan menerusi TV3 malam tadi.
Menurut Najib, hanya menerusi kerajaan yang mendapat mandat penuh daripada rakyat, segalanya akan menjadi lebih mudah dan teratur. 
Oleh itu, Najib sekali lagi memberi nasihat kepada rakyat Malaysia agar tidak bereksperimen untuk menggantikan kerajaan yang mentadbir negara sejak merdeka kepada pembangkang. 
"Mereka mempunyai perbezaan ideologi... dan secara asasnya, mereka bahkan tidak berdaftar sebagai sebuah parti politik. 
"Malah persoalan siapa yang akan mengetuai parti itu jika mereka memerintah kerajaan, ia masih terbuka kepada pelbagai jawapan kerana mereka masih belum putuskan siapa yang akan mengetuai mereka," ujar Najib. 
Beliau pada masa sama membidas manifesto pembangkang yang disifatkannya tidak realistik, apatah lagi untuk memastikan pendapatan isi rumah meningkat kepada RM4,000 sebulan setelah satu penggal memerintah. 
"Ada pemimpin mereka kata manifesto bukan janji," kata Najib sambil berkata, amat penting untuk mengetahui bagaimana Pakatan Rakyat (PR) mahu melaksanakan janji-janjinya itu. 
"Pokoknya pembiayaan, tidak ada benda yang percuma di dunia ini, mesti ada pihak yang terpaksa tanggung pembiayaan (bagi) perkara yang hendak diberi secara percuma atau hendak dikurangkan," kata Najib merujuk kepada hasrat pembangkang yang salah satunya untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat. 
Najib juga berkata, betapa penting untuk kerajaan BN merampas kembali Selangor yang disifatkan sebagai negeri yang "terlalu penting".
"Bukan kita hendak kuasa semata-mata... kalau kerajaan pusat dan negeri bukan dari parti sama, akan banyak masalah berbangkit seperti masalah air," ujar beliau.
Ketika ditanya berhubung bila pula manifesto BN akan dibentang, Najib berkata ia akan dilakukan selepas Parlimen dibubarkan. 
"Waktu yang sesuai, maknanya ia tidak terlalu awal dan jangan terlalu lewat supaya kita bentangkan dan rakyat akan beri perhatian," katanya. 
Malah menurut Najib pada masa kini, proses pemilihan calon BN untuk PRU13 juga belum selesai sepenuhnya. 
"Hampir siap, tetapi setiap kali kita tengok, saya kira sampai kita umum nanti akan ada perubahan," kata beliau.
Najib turut menyatakan keyakinannya terhadap sokongan rakyat yang diterima sejak bergelar perdana menteri pada 2009 berdasarkan 'track record' yang baik termasuk ketika ekonomi global sedang merudum.
"Kita telah berupaya mengharungi arus trend ekonomi global luaran. Pada suku tahun yang lepas, kita telah mencapai pertumbuhan 6.4 peratus, yang mencerminkan daya tahan ekonomi negara," ujar Najib.
Sementara itu, Najib yang turut ditanya mengenai insiden Lahad Datu berkata, pihak kerajaan Malaysia dan Filipina akan meneruskan siasatan bagi mengetahui siapa di sebalik pencerobohan di Sabah sehingga meragut banyak nyawa perajurit negara. 
Pelbagai persoalan katanya masih belum terjawab termasuklah bagaimana kumpulan berkenaan mendapatkan dana untuk melakukan pencerobohan sedangkan mereka ini dikatakan hidup dalam keadaan daif

Tiada ulasan: