Khamis, 21 Mac 2013

Rosmah Perlu Telus, Dedahkan Individu Beri Hadiah Barang Mewah

 Editor BULETIN

http://www.buletinonline.net/images/stories/aberita17/Rosmah%20gila1.pngDatin Seri Rosmah Mansor menjawab segala tohmahan mengenai perhiasan yang dipakainya selama ini dengan beliau mengaku segala perhiasan yang dipakainya adalah hadiah dari para tetamunya, dan beliau memakainya demi menjaga hati individu berkenaan.

Sebegitu jujur isteri PM membuat pengakuan. Kini jelaslah bahawa kesemua harta mewah yang dipakainya bukan dibeli, tetapi dihadiahkan oleh tetamunya. Timbul pula keraguan di hati rakyat, siapakah individu terbabit dan apakah niat mereka menghadiahkan semua perhiasan mewah itu?

Sebagai isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah perlu mengetahui bahawa beliau adalah individu berprofil tinggi. Perdana Menteri adalah pemilik kuasa tertinggi eksekutif di negara ini, yang mampu menentukan sesuatu perkara. Beliau boleh mengatakan tidak atau ya jika mahu apa sahaja yang dikehendakinya.

Justeru, ramai yang memasang angan-angan mahu bertemu dengan PM, terutama mereka yang mempunyai kepentingan tertentu dalam perniagaan, sama ada dari dalam mahupun luar negara. Tidak mungkin Datin Seri Rosmah tidak tahu atau tidak diberitahu bahawa menerima hadiah dari mana-mana individu boleh menimbulkan suatu persepsi buruk kerana ia boleh dianggap menerima rasuah.

Beliau harus sedar, selaku isteri PM beliau telah menerima hadiah semahal atau sebanyak itu. Bagaimana sekiranya beliau adalah isteri kepada rakyat biasa di peringkat bawahan. Semahal itu jugakah hadiah yang diperolehinya? Terlalu pemurahkah individu terbabit untuk menghadiahkan sesuatu kepada Datin Seri Rosmah sekiranya suami beliau bukan Perdana Menteri Malaysia? Apakah kerana namanya Datin Seri Rosmah, yang disayangi dan dikasihi maka beliau mendapat hadiah tersebut dan bukan kerana statusnya sebagai isteri PM?

Bayangkan sekiranya pengakuan tersebut lahir dari pegawai kerajaan atau isteri mereka, yang berkuasa meluluskan atau tidak sesuatu projek kerajaan. Sudah pasti mereka akan ditangkap dan dituduh dengan pelbagai dakwaan menerima suapan atau rasuah. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memberi respons segera bagi memastikan integriti badan tersebut dipelihara. Rakyat melihat apakah SPRM benar-benar telus terhadap rakyatnya dengan tidak mangamalkan sikap ‘dwi standard’.

Sekiranya benar segala perhiasan beliau dihadiahkan oleh individu tertentu maka dia perlu menjaga hati mereka, beliau perlu mendedahkan siapa individu terbabit, meskipun mereka adalah ketua-ketua negara atau tetamu luar negara. Ia perlu dijelaskan supaya tidak timbul kekeliruan mengenai pemberian hadiah tersebut. Apakah hadiah dari tetamu khususnya dari luar negara adalah miliknya sebagai koleksi peribadi atau milik kerajaan kerana biasanya beliau dan suaminya hadir atas kapasiti mewakili kerajaan Malaysia. Datin Seri Rosmah atau PM sendiri perlu menjawab bagi memastikan diri mereka benar-benar bersih dari anasir rasuah. Rakyat tidak mahu pemimpin negara terpalit dengan sebarang unsur rasuah yang merosakkan negara.

RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Tiada ulasan: